Malaysia Dateline

Afdlin, Altimet sah sertai keluarga besar PKR

 

Altimet menerima kad keahlian PKR yang disampaikan ibunya, Jamalah Agil.

Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan penyertaan dua selebriti pada majlis “Siri Temu Anwar” di Hotel Flamingo, di Ampang malam ini.

Kedua-dua mereka ialah pelakon dan pengacara, Datuk Afdlin Shauki serta penyanyi lagu ‘Amboi’, Altimet atau nama sebenarnya Syed Ahmad Syed Abdul Rahman Alhadad.

Afdlin, 50, yang tampil kali pertama dalam filem menerusi ‘Anna and The King’ (1999) sebelum ini merupakan penyokong Umno.

Anwar dalam program menyambut penyertaan dua selebriti di Ampang malam ini.

Sementara itu, Altimet, 43, yang dikenali dengan penghasilan lagu rap memuatkan lirik berunsurkan sindiran dan nasihat menerima kad keahlian PKR dari ibunya sendiri, Jamalah Agil.

Turut hadir Menteri Besar Selangor Amirudin Shari yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) dan Majlis Pimpinan PKR Negeri Selangor.

Amirudin meraikan kemasukan Afdlin dan Altimet ke dalam keluarga besar PKR.

Beliau dalam ucapannya menyifatkan penyertaan selebriti dalam parti politik merupakan satu keterujaan baharu dalam perkembangan siasah di negara ini.

“Kita dalam politik juga tidak harus terlalu keras. Suara hati itu perlu disampaikan dalam pelbagai bentuk.

“Afdlin bukan sahaja pelawak. Beliau juga seorang produser, penulis skrip, pengarah dan pelakon yang serius,” katanya.

Amirudin Shari turut menambah kebebasan berekspresi adalah tanda kesediaan untuk menjadi bangsa maju dan negara bertamadun.

Anwar menyampaikan replika kad keahlian kepada Afdlin.
Altimet popular dengan lagu ‘Amboi’ dengan liriknya ditulis sendiri penyanyi terbabit.