Malaysia Dateline

Afdlin Shauki: Dulu ahli Umno, kini sertai PKR

Pelakon dan pengacara, Datuk Afdlin Shauki bakal diumum menyertai PKR dalam acara Temu Anwar di sebuah hotel di Ampang esok.

Penghibur itu menyifatkan keputusannya menyertai PKR selepas pernah berjuang di bawah parti Umno semuanya atas kemahuan dirinya sendiri.

Beliau berpendapat Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Ketua Pembangkang itu memiliki nilai perjuangan dan semangat kental.

“Jiwa besar Datuk Seri Anwar dalam memaaf dan menerima kembali orang yang pernah masukkan beliau dalam penjara merupakan hal yang membuka mata dan fikiran saya.

“Datuk Seri Anwar tidak pernah lelah dalam perjuangannya, begitu dedikasi dan komited untuk membela rakyat di sebalik kesengaraan yang beliau dan keluarga lalui.

“Nilai yang ada dalam diri Datuk Seri Anwar itu membuatkan saya tidak fikir panjang untuk menyertai PKR,” katanya, lapor Astro Awani.

Selain Afdlin, 50, turut akan diumum menyertai PKR ialah penyanyi, Altimet, 43.

Menurut Afdlin yang tampil kali pertama dalam filem menerusi ‘Anna and The King’ (1999) berkata, PKR menawarkan ruang dan kedudukan untuk beliau berkongsi aspirasinya dalam kerja-kerja kemanusiaan.

Beliau juga berpendapat PKR adalah parti yang menjaga semua kaum walaupun berketuakan orang Melayu.

“Inilah wadah yang saya dambakan. Orang Melayu menjadi ketua tanpa mengabaikan hak serta kebajikan kaum-kaum lain.

“Dan Datuk Seri Anwar adalah pemimpin yang sentiasa mengutamakan rakyat pelbagai kaum.

“Sebagai rakyat Malaysia, pemimpin sebegini yang negara perlu ada,” tambahnya yang kerap berlakon bersama Datuk Hans Isaac yang juga bekas Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) itu.