Malaysia Dateline

Affin Hwang AM lancar ‘China a equity fund’

Affin Hwang Asset Management Bhd (Affin Hwang AM) melancarkan Affin Hwang World Series – China A Opportunity Fund yang menyediakan akses kepada peluang yang luas dalam pasaran ekuiti domestik China.

Affin Hwang AM berkata dana itu merupakan dana pertumbuhan pemborong yang membolehkan pelabur melabur dalam skim pelaburan kolektif, iaitu UBS (Lux) Investment SICAV – China A Opportunity Fund (dana sasaran).

“Dana sasaran itu ialah dana Luxembourg yang berdomisili yang diuruskan oleh UBS Asset Management.

“Bagi mencapai matlamat pelaburannya, dana itu akan melabur minimum 80 peratus daripada nilai aset bersihnya (NAV) dalam dana sasaran itu dan maksimum 20 peratus daripada NAV dana itu dalam instrumen pasaran wang, deposit dan/atau aset cair,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ketua Pemasaran dan Pegawai Pengagihan Affin Hwang AM Chan Ai Mei berkata susulan China meneruskan hala tujunya ke arah liberalisasi dan menunjukkan komitmennya untuk membuka pasaran modalnya, syarikat itu menjangka dana tersebut akan menjadi benefisiari kepada aliran masuk apabila pembaharuan bermula.

“Kemasukan saham A China secara berperingkat dalam MSCI Emerging Market Index akan menyaksikan aliran dana yang besar dan menarik minat pelabur global. Jika berlaku kemasukan penuh, jumlah wajaran ekuiti China boleh membentuk sehingga 40 peratus daripada keseluruhan indeks,” katanya.

Chan berkata dana itu merupakan tambahan kepada World Series yang akan membolehkan pelabur memanfaatkan peluang dalam pasaran domestik atau saham A China.

Mengenai prospek China, Ketua Ekuiti China UBS Asset Management Bin Shi berkata pembangunan dasar baru-baru ini memberi isyarat titik perubahan kepada pasaran saham China dan boleh menjadi peluang kepada pelabur untuk menambah atau melabur dalam ekuiti China.

Beliau berkata kerajaan China telah membuka sektor industri utama kepada pelaburan daripada syarikat luar negara dan mengubah kedudukan mereka dalam mengehadkan pelaburan ke China yang menjadi punca utama kepada ketidaksepakatan dalam pertikaian perdagangan AS-China.

“Langkah ini boleh membantu meningkatkan keyakinan pelabur yang terjejas oleh dasar kerajaan sebelum ini. Sokongan dasar baharu dihargai sepenuhnya oleh pasaran.

“Bagaimanapun, memasuki 2019, ini akan memberi impak positif kepada sentimen pelabur dan akan membantu, sebahagiannya, mengurangkan risiko dalam pasaran ekuiti China,” kata Bin.

— BERNAMA