Malaysia Dateline

Affin Hwang AM senarai ETF New China di pasaran utama

TradePlus S&P New China Tracker Affin Hwang Asset Management Bhd mula disenarai di Pasaran Utama Bursa Securities hari ini, sejajar dengan pengembangan penawaran dana dagangan bursa (ETF).

Dana ini merupakan ETF ekuiti yang menyediakan pelabur pendedahan kepada ekonomi baharu China, dan mengambil bahagian dalam trend pertumbuhan positif dan corak penggunaan dalam struktur ekonomi yang berubah, daripada didorong oleh pelaburan kepada ekonomi yang diterajui penggunaan dan perkhidmatan.

“Ditanda aras terhadap S&P New China Sectors Ex A-Shares Index, dana itu akan menggunakan strategi replikasi penuh untuk mengesan prestasi indeks, dengan cara yang cekap bagi para pelabur untuk mendapatkan pendedahan luas terhadap syarikat-syarikat tersenarai China dalam industri berorientasikan penggunaan dan perkhidmatan yang pesat berkembang,” kata Affin Hwang dalam kenyataan hari ini.

Dana ini akan melabur sekurang-kurangnya 70 peratus daripada nilai aset bersih (NAV) dana dalam sekuriti yang sah untuk memenuhi objektif pelaburannya, dengan pilihan untuk melabur maksimum 20 peratus daripada NAB dana dalam derivatif atau skim pelaburan kolektif.

“Bakinya akan dilaburkan dalam instrumen pasaran wang dan/atau deposit untuk kecairan,” katanya.

Pengarah Urusannya Teng Chee Wai berkata sejak penyenaraian ETF pertama (TrackPlus Shariah Gold Tracker) yang pertama di Bursa pada 2017, syarikat itu melancarkan penawaran pelaburan pasif seterusnya ke pasaran secara berturut-turut.

“Melalui dana ini, pelabur tempatan akan dapat mengambil bahagian dalam satu daripada tema pelaburan terbesar di dunia ketika kami menyaksikan anjakan seismik China daripada ekonomi yang didorong oleh pelaburan yang tertumpu terutama pada infrastruktur dan pembuatan kepada ekonomi yang lebih banyak didorong oleh pengetahuan, yang memberi fokus kepada penyelidikan dan pembangunan serta inovasi,” kata Teng.

— BERNAMA