Malaysia Dateline

Affin Hwang Investment sasar RM50 juta berian pinjaman sekuriti tahun ini

Affin Hwang Investment Bank Bhd menyasar mencapai berian pinjaman sekuriti berjumlah RM50 juta tahun ini susulan pelancaran rasmi program Pinjaman dan Berian Pinjaman Sekuriti Runcit (SBL Runcit).

Pengarah Sekutu Kanan Kewangan Ekuiti SBL Affin Hwang Investment Karu Ramesh Kumar berkata program SBL Runcit itu membolehkan pelabur memberi pinjaman saham yang mereka miliki bagi fi antara 0.5 peratus hingga 12 peratus setahun.

“Ini akan membolehkan pelabur memperoleh pendapatan faedah bagi meminjamkan aset mereka, yang seterusnya berpotensi mendapat lebih banyak pulangan melebihi dividen yang mereka biasa terima,” katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran program itu, di sini, hari ini.

Beliau berkata program itu yang dimulakan pada suku ketiga tahun lepas berjaya memberi pinjaman sebanyak RM8.5 juta saham pelanggan runcit dalam masa kurang daripada dua bulan meskipun prestasi pasaran yang agak perlahan pada suku keempat.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia Datuk Seri Tajuddin Atan berkata SBL membolehkan pemegang kepentingan meningkatkan pulangan mereka dengan memberi pinjaman saham mereka kepada pelabur lain bagi tujuan jualan singkat, lindung nilai, arbitraj dan penyelesaian perdagangan yang gagal.

Beliau berkata antara ciri-ciri utama menarik kemudahan SBL itu adalah keupayaannya untuk memanggil semula saham sekiranya pelabur mahu menjualnya.

“Sebagai pemberi pinjaman, risiko kredit atau risiko kaunterparti akan ditanggung oleh broker,” katanya.

Menurutnya, pemberi pinjaman juga akan kekal mendapat manfaat ekonomi sebagai pemilik sekuriti seperti pembayaran dividen, bonus atau terbitan hak.

Setakat Disember tahun lepas, terdapat 1.87 juta akaun runcit aktif bernilai RM137.3 bilion, menyumbang kepada 17 peratus daripada kuantiti perdagangan dalam bursa saham.

— BERNAMA