Malaysia Dateline

Afghanistan kini bersedia adakan pilihan raya presiden

Penduduk Afghanistan boleh mengundi pada pilihan raya presiden akan datang memandangkan semua prasyarat sebagai pengundi telah dipenuhi, kata Presiden Ashraf Ghani.

“Rakyat Afghanistan perlu menentukan masa depan mereka sendiri, sekarang mereka boleh membuat keputusan sendiri,” kata Ghani dalam temu bual eksklusif dengan agensi berita Sputnik.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab pertanyaan sama ada pilihan raya presiden yang telah tertangguh sebanyak dua kali sudah siap sedia untuk dilaksanakan.

Presiden Afghanistan itu turut memberi jaminan bahawa negara itu sudah bersedia untuk mengadakan pilihan raya.

Pilihan raya presiden yang awalnya dijadual pada 20 April, ditangguhkan sebanyak dua kali – pertama sehingga 20 Julai dan kemudian sehingga 28 September.

Tempoh pemerintahan Ghani secara rasmi berakhir pada Mei, tetapi disambung dengan perintah Mahkamah Agung.

Penangguhan berkenaan menimbulkan kebimbangan di kalangan pembangkang mengenai legitimasi pilihan raya.

Pergerakan Taliban berulang kali mengancam untuk mengganggu proses pilihan raya dan baru-baru ini melancarkan beberapa serangan yang mengakibatkan banyak kematian dan kecederaan di seluruh negara.

Disebabkan itu beberapa calon terpaksa menanguhkan kempen mereka.– BERNAMA