Malaysia Dateline

Afif nafi serang KKM, hanya suarakan pendapat

Pegawai Khas kepada Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Dr Afif Bahardin hari ini tampil menjelaskan bahawa pihaknya sama sekali tidak menyerang Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam satu ciapan di Twitter rasminya semalam.

Afif berkata, muatnaik status tersebut hanyalah untuk menyuarakan pendapat dan bertanya tentang halatuju dasar kerajaan dalam membendung penularan wabak Covid-19.

“Saya mengambil maklum akan tajuk berita ‘Selepas kena serang kes gunting rambut, Pegawai MITI serang KKM’ yang disiarkan oleh Malaysia Dateline pada semalam.

“Saya ingin menafikan sekerasnya dakwaan laporan portal online ini. Sebagai seorang yang pernah menjadi sebahagian daripada warga KKM sehingga tahun 2013, sangat memahami kepentingan perkhidmatan dan budaya kerja KKM.

“Sebagai wakil rakyat saya amat menghargai dan memuji segala usaha barisan hadapan di KKM mendepani cabaran Covid-19,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Adun Seberang Jaya itu juga menuntut Malaysia Dateline menurunkan artikel tersebut dan membuat permohonan maaf atas laporan berita yang dikatakan mengelirukan ramai pihak.

“Maka, saya menuntut daripada Malaysia Dateline untuk segera membetulkan keadaan ini yang telah mencemarkan imej saya dengan menurunkan artikel ini dan menyiarkan permohonan maaf atas penyiaran laporan berita yang berniat jahat dan mengelirukan ramai pihak.

“Jika Malaysia Dateline gagal melakukannya, saya akan mempertimbangkan tindakan undang-undang bagi membersihkan nama saya,” katanya.