Afnan Hamimi pencabar kerusi Permatang Pauh

Afnan Hamimi pencabar kerusi Permatang Pauh

Setiausaha Dewan Pemuda Pas Malaysia, Afnan Hamimi Taib Azamudden (gambar dua dari kanan) sebagai calon Pas untuk bertanding di kerusi Parlimen Permatang Pauh pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Pengumuman itu dibuat oleh Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam program Ceramah Di Ambang PRU-14 dan Majlis Pelancaran Gagasan Sejahtera Peringkat Negeri Pulau Pinang di Markaz Tarbiyah Pas, Pongsu Seribu, Kepala Batas, malam tadi.

Afnan Hamimi yang juga Ketua Pemuda Pulau Pinang itu adalah calon pertama dari Pas yang diumumkan Abdul Hadi.

Dijangkakan Abdul Hadi akan mengumumkan senarai penuh calon Pas pada Khamis ini.

Afnan Hamimi pernah bertanding di Parlimen Kepala Batas pada PRu13 lalu tetapi tewas menentang Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican dengan majoriti 4,176 undi.

Afnan Hamimi adalah anak kepada bekas Ahli Parlimen Baling, Datuk Taib Azamudden Muhammad Taib.

Parlimen Permatang  Pauh  bakal menyaksikan pertandingan  tiga penjuru, dengan berkemungkinan Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail, turut mempertahankan kedudukannya.

Pas bertanding di Permatang Pauh sejak 1969 sebelum menyerahkan kerusi itu kepada PKR pada PRU 1999.

Kerusi berkenaan pernah disandang Barisan Nasional (BN) menerusi bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sejak 1982.

Parlimen Permatang Pauh mempunyai tiga kerusi Dun iaitu di Permatang Pasir yang disandang Pas menerusi Datuk Mohd Salleh Man. Salleh digugurkan sebagai calon pada pilihan raya kali ini.

Pakatan Harapan meletakkan calon AMANAH Faiz Fadzil di Dun Permatang Pasir.

Dua kerusi lain ialah di Seberang Jaya dan Penanti yang disandang PKR.

CATEGORIES
TAGS