
Timbalan Menteri (Undang-undang) di Jabatan Perdana Menteri Mohamed Hanipa Maidin berkata, penentangan terhadap melantik Ketua Hakim Negara dan Peguam Negara (AG) bukan daripada Melayu dan Islam hanya semata-mata idealisme golongan muslim sedangkan pelantikan itu tidak bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.
Katanya, dalam konteks pelantikan tersebut, beliau berasa pelik jika ada pihak yang masih mempertikaikan pelantikan jawatan tertinggi badan legislatif itu dari kalangan orang bukan Melayu dan bukan Islam.
Katanya, mana-mana pihak yang mempertikai pelantikan yang dibuat oleh kerajaan Pakatan Harapan itu, tidak ubah seperti menilai undang-undang bagi pemain ragbi digunakan untuk pemain bolasepak di padang.
“Saya amat pelik jika ada pihak yang masih nak pertikai pelantikan jawatan tertentu dari kalangan orang bukan Melayu/Islam sedangkan pelantikan itu tidak sama sekali bercanggah dengan Perlembagaan dan ianya dibuat dalam ruang lingkup Perlembagaan.
“Selalu dilaungkan oleh pihak tertentu, jawatan tertentu mesti dipegang oleh orang Islam.
“As a muslim (sebagai seorang Islam), sudah tentu itu harapan saya dan juga harapan ramai orang Islam yang lain.
“Tapi itu bagi saya, idealisme muslim di negara ini.
“Ia tidak boleh sama sekali menyangkal atau mengganti ketinggian Perlembagaan melainkan Perlembagaan itu diubah.
“Kesimpulannya, kita tidak wajar bersetuju untuk bermain sukan bolasepak dari satu sudut, tetapi kita juga dalam masa yang sama mahu peraturan sukan ragbi diguna pakai bagi permainan bola sepak.
“Itu orang kata, tak aci atau mengelat,” ujarnya optimis dalam satu kenyataan hari ini.
Hanipah yang juga Ahli Parlimen Sepang, menyarankan mana-mana pihak yang gusar pelantikan itu akan mengugat kepentingan Melayu dan Islam, agar menyemak semula penentangan yang dibuat terhadap jawatan tertinggi dalam badan legislatif itu.
“Bagi saya, mana-mana pihak yang mempertikai pelantikan sama ada YB Menteri Kewangan atau Peguam Negara atau Yang Amat Arif Ketua Hakim Negara yang baharu atas alasan mereka adalah non muslim, mereka sewajarnya kena semak semula penentangan mereka itu.
“Yang pertama, semua kita wajib jujur menerima Perlembagaan Persekutuan ‘as our supreme law'(undang-undang tertinggi) dalam sistem perundangan negara.
“Jika kita terima hakikat itu, kita juga kena terima hakikat tidak ada sesiapa pun khususnya ‘political players'(pemain politik) dalam negara ini yang dibenarkan beroperasi di luar ruang lingkup Perlembagaan Persekutuan.
“Tak siapa kata Perlembagaan negara ini adalah sempurna. Namun, tidak siapa juga boleh nafi ia telah banyak berjasa kepada negara ini.
“Sebab itu, penjawat awam seperti PM, jemaah menteri, para MP atau para hakim wajib kena angkat sumpah bagi pertahan dan lindungi Perlembagaan. Itu adalah kehendak Perlembagaan,” ujarnya.
Semalam Tan Sri Richard Malanjum mengangkat sumpah sebagai Ketua Hakim Negara yang baharu berkuat kuasa hari ini.
Malanjum, 65, menerima surat cara pelantikan daripada Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V dalam satu upacara di Istana Negara.
Sejurus selesai upacara angkat sumpah itu, Sultan Muhammad V mengurniakan watikah pelantikan kepada Tan Sri Ahmad Maarop sebagai Presiden Mahkamah Rayuan dan juga watikah kepada Datuk David Wong Dak Wah sebagai Hakim Besar Sabah dan Sarawak menggantikan Malanjum.