AG, SPRM perlu segera siasat saman DOJ berkaitan 1MDB

AG, SPRM perlu segera siasat saman DOJ berkaitan 1MDB

Wan Anwar Wan IbrahimBiro Undang-undang Parti Amanah Negara (Kanun) mendesak peguam negara dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) meneruskan siasatan dan pendakwaan terhadap mereka yang dinamakan dalam saman sivil Jabatan Keadilan (DOJ) Amerika Syarikat untuk menyita dan merampas aset berkaitan penyelewengan dana 1MDB.

Timbalan Pengerusi Kanun Wan Anwar Wan Ibrahim berkata, ini termasuk mendedahkan identiti “Malaysian Official 1” yang dinamakan dalam saman tersebut.

“Tanggung jawab peguam negara yang juga pada masa yang sama merupakan pendakwa raya adalah untuk mengheret sesiapa sahaja yang telah didapati melakukan kesalahan di bawah undang-undang yang berkaitan ke muka pengadilan lebih-lebih lagi apabila menyentuh kedaulatan dan reputasi negara.

“Kanun kesal dengan pendirian dan sikap peguam negara Malaysia yang masih berdolak-dalik untuk mengambil tindakan yang tegas terhadap isu yang dikenal pasti sebagai skandal kewangan terburuk negara tersebut walaupun segala bukti telah disahkan oleh pihak Jabatan Keadilan AS,” kata beliau dalam satu kenyataan.

DOJ, dalam saman untuk menyita aset yang diperoleh menggunakan dana 1MDB menyebut “Malaysian Official 1” didakwa menerima AS$781 juta wang yang disalah guna.

Malaysian Official 1 dirujuk sebagai “pegawai tinggi dalam kerajaan Malaysia yang juga memegang jawatan autoriti dengan 1MDB”.

Wan Anwar berkata, tindakan peguam negara AS merupakan tindakan yang tepat bagi melindungi kewibawaan sistem kewangan khususnya dan kedaulatan negara mereka umumnya dan wajar dicontohi peguam negara Malaysia.

“Peguam negara adalah sebenarnya bertanggungjawab penuh kepada rakyat dan bukannya penguasa-penguasa yang korup,” katanya.

Sementara itu, Presiden Badan Peguam Malaysia Steven Thiru berkata peguam negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali perlu menarik diri daripada menjalankan kuasanya sebagai pendakwa raya di bawah Perkara 145 (3) kerana beliau mempamerkan sikap seorang pembuat keputusan yang tidak berkecuali.

Beliau berhujah pembelaan Apandi terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berhubung dakwaan DOJ adalah tidak wajar.

“Peguam Negara telah meletakkan dirinya dalam kedudukan yang jelas dan konflik kepentingan yang tidak dapat dipertahankan.

“Dia hilang kelayakan dan oleh itu mesti menarik diri serta-merta daripada menjalankan kuasa pendakwaan sebagai pendakwa raya di bawah Perkara 145 (3) sekiranya terdapat sebarang cadangan lagi untuk pendakwaan atas tuduhan-tuduhan ini, kerana dia tidak dilihat sebagai pembuat keputusan yang neutral,” katanya dalam satu kenyataan media semalam.

Apandi sebelum ini berkata tiada pertuduhan jenayah terhadap mana-mana individu atas kesalahan menggelapkan dana daripada 1MDB.

Apandi juga menzahirkan kebimbangan terhadap dakwaan dan sindiran terhadap Najib berhubung dakwaan salah laku dalam kes  sivil yang difailkan oleh DOJ.

“Peguam negara ingin jelaskan bahawa tiada dalam tuntutan sivil difailkan oleh DOJ AS yang perdana menteri dinamakan sebagai defendan atau didakwa melakukan sebarang salah laku,” katanya.

COMMENTS

Wordpress (0)