Malaysia Dateline

AG wajar jelaskan mengapa kes Adib didakwa di bawah ‘pertuduhan himpunan awam’?

Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun perlu segera menjelaskan mengapa pertuduhan terhadap 12 orang suspek yang terlibat dalam kes kematian anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim, hanya didakwa di bawah Seksyen 143 Kanun Keseksaan.

Ahli Jawatankuasa Pimpinan AMANAH Nasional, Faiz Fadzil mendakwa, pertuduhan di bawah Seksyen tersebut hanya melibatkan kesalahan perhimpunan awam yang tiada kaitan dengan kematian Muhammad Adib.

Malah katanya, kesalahan perhimpunan awam itu juga hanya memperuntukkan hukuman enam bulan penjara atau denda atau kedua-duanya sekali.

“Kes ini melibatkan kematian seorang penjawat awam yang menjalankan tugas. Tetapi keadilan baginya masih belum terbela di mana masih tiada individu yang didakwa di bawah seksyen 302 Kanun Keseksaan.

“Elemen pertuduhan juga hanya melibatkan perhimpunan orang ramai tanpa kebenaran pihak berkuasa.

“Seharusnya pihak polis menyiasat siapakah yang menyebabkan kematian Adib untuk didakwa di mahkamah,” katanya dalam satu kenyataan kepada Malaysia Dateline hari ini.

Terdahulu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Hamzah Zainuddin berkata, kertas siasatan kes Muhammad Adib telah dirujuk semula ke Jabatan Peguam Negara pada 23 Julai lalu, dengan disusuli beberapa cadangan.

Rujukan semula kes itu antara lain mencadangkan supaya 12 suspek yang sebelum ini disyaki terbabit dalam kematian Adib pada 17 Disember 2018 itu, dituduh mengikut Seksyen 143 Kanun Keseksaan (KK).

Ketika memperincikan perkembangan kes itu beliau berkata, cadangan lain yang turut dikemukakan ialah membuka semula inkues untuk siasatan sekiranya mendapat persetujuan Peguam Negara.

Sementara itu, Faiz yang juga Adun Permatang Pasir berkata, Peguam Negara perlu menjelaskan kekeliruan yang timbul berkenaan prosiding inkues yang perlu dijalankan semula, sedangkan inkues pertama telah diputuskan bahawa punca kematian Adib disebabkan perbuatan jenayah

“Justeru, satu penjelasan kepada pihak awam oleh Peguam Negara amat penting bagi menghuraikan kegelisahan rakyat berhubung kes ini yang telah dijanjikan keadilan dalam pembelaan kematian Adib oleh pihak kerajaan,” katanya lagi.

Dalam Sidang Dewan Rakyat hari ini, RSN Rayer (PH-Jelutong) turut membangkitkan isu sama dan mendakwa Hamzah Zainuddin cuba mengelak dari menjawab persoalannya.

Rayer berkata, soalannya sama sekali tidak dijawab dengan jelas sekiranya ada individu yang akan didakwa di bawah akta 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.