Malaysia Dateline

‘Agak-agaklah sewa flat sampai RM1,400’

Kadar sewa rumah pangsa di Kuala Lumpur sudah macam sewa kondominium. Itu antara komentar orang ramai dengan satu iklan rumah untuk disewa.

Seunit rumah flat sewa di Perumahan Pantai Permai mencecah RM1,400 sebulan.

Jumlah deposit sebanyak RM5,100 seperti diiklankan menerusi Facebook Rumah/Bilik Sewa Kuala Lumpur Dan Selangor (Kl/Sel) Sewa Jual Beli itu mengundang kecaman orang ramai.

“Saya rumah dua tingkat landed kawasan baru hanya RM1,300 sebulan saja. Kenapa mahal sangat ni?” soal Mai Jannatul.

Tidak kurang juga warganet yang menganggap sewa bulanan yang terlalu tinggi itu amat melampau memandangkan tidak memiliki kemudahan yang sepatutnya.

“Patutlah mahal, rumah macam istana walaupun tiada lif dan parking lot,” sindir Syed Hazim Al-khaireed.

Sementara itu, Lsyaa pula memberitahu, “rumah landed di Puchong, dua tingkat, baru RM1,500.”

Ramai juga yang memerli mengaitkan kemungkinan penyewa ingin cepat ke Makkah bahkan segera balik.

“Kalau kondominium boleh terimalah harga itu. Nak pergi Makkah balik hari ke,” kata Muhd Idham manakala Iman Hamzah Iman pula menulis, “Mahal nau lah. Nak pergi haji ke?”

Lokasi perumahan berkenaan berdekatan dengan Universiti Malaya (UM) dan sememangnya menjadi tumpuan penuntut menyewa.

Lantaran itu, ada yang berpendapat penyewa sengaja mengambil kesempatan terhadap pelajar universiti tersebut yang terdesak memerlukan penginapan berhampiran kampus.

“Terfikir juga bagaimana pelajar-pelajar UM nak dulukan deposit,” kata Rohan Nizam Basheer.

Sehubungan itu, orang ramai menegaskan pentingnya kerajaan meneliti kembali syarat pemilikan rumah kos rendah agar tidak terus dieksploitasi golongan lintah darah.

“Inilah akibat yang berlaku apabila ikut tips sifu hartanah sampah. Orang yang tak layak beli rumah kos rendah, disapunya juga hak orang miskin.

“Sebab itu setuju sangat syarat pembelian rumah rakyat atau kos rendah ni diperketatkan lagi, agar tak mudah dibeli oleh kapitalis.

“Tapi, kalau dah kerajaan yang jaga pun bermata duitan…” kata Hafiz Mat.