Malaysia Dateline

‘Agamawan bisu dalam Kabinet diperalat untuk kaburi mata rakyat’

Imej kerajaan Melayu Islam yang bersih dan adil dengan ulama dalam Kabinet kerajaan Perikatan Nasional (PN) pada masa ini hanyalah janji kosong dan fatamorgana semata-mata.

Pengerusi Pakatan Harapan Terengganu, Raja Bahrin Shah berkata, rakyat seolah-olah dipaksa untuk menerima pelbagai pelanggaran undang-undang yang amat serius termasuk terbaharu campur tangan politik dalam susunan serta kenaikan pangkat pegawai polis.

“Sebagai hiasan penyeri majlis, para agamawan bisu dalam Kabinet diperalatkan untuk mengaburi mata rakyat menyerah kepercayaan sepenuhnya secara walak kepada kerajaan yang kini diselewengnya,” kata beliau.

Pengerusi AMANAH Terengganu itu juga menyifatkan Pas yang berada dalam kerajaan PN terlibat dalam penyelewengan kuasa.

“Setiausaha Agung Pas yang merupakan Menteri Undang-undang cuba mempertahankan tindakan salah Menteri dalam Negeri Datuk Hamzah Zainuddin yang mencampuri urusan polis yang mencacatkan perlaksanaan undang-undang secara adil mengikut tuntutan Islam.

“Bukan sahaja Pas kini bisu dalam isu RUU 355 dan hudud yang dahulu dilaungkan, undang-undang sivil dan jenayah sedia ada pun hendak diselewengi demi kuasa,” bidasnya dalam satu kenyataan.