Malaysia Dateline

Agamawan, institusi agama tidak boleh rosakkan agama

Institut Kajian Strategik Islam Malaysia (IKSIM) tidak boleh melihat organisasi lain yang wujud secara sah mengikut undang-undang sebagai musuh, tegas Pengarah Hal Ehwal Syariah AMANAH, Ustaz Zolkharnain Abidin.

Sebaliknya. kata beliau, IKSIM perlu menggunakan peluang untuk melebarkan kebaikan Islam melalui usaha dialog dan wacana dalam pelbagai versi dan sudut pandang tentang agama dan tafsirannya.

Menurutnya, tindakan badan yang berkait dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) itu mengheret mufti dengan menuntut supaya DAP diharamkan tidak menyumbang faedah pada perkembangan Islam.

“Jika IKSIM kerjanya mendesak mufti mengharamkan sokongan kepada organisasi itu dan ini, ternyata kewujudan IKSIM tidak membawa manfaat besar kepada usaha untuk meletakkan Islam pada tempatnya yang strategik di negara ini.

“IKSIM sebagai sebuah agensi yang dibiayai oleh wang pembayar cukai termasuk cukai yang dibayar oleh ahli dan penyokong DAP sepatutnya berusaha meletakkan Islam pada tempatnya yang strategik dalam realiti kepelbagaian Malaysia, bukan berusaha menjadikan Malaysia negara mullah,” ujarnya.

Baru-baru ini, felo kanan IKSIM, Engku Ahmad Fadzil Engku Ali yang menganggap DAP kononnya anti Islam menggesa mufti mengeluarkan fatwa berhubung hukum bagi umat Islam mengundi, menyokong dan membantu DAP.

Sebelum itu, Presiden Pertubuhan Ahli Sunnah Wal Jamaah (Aswaja), Zamihan Md Zain menyifatkan haram bagi masyarakat Islam menyokong dan mengundi DAP.

“IKSIM wajar meraikan kepelbagaian organisasi politik sebagai suatu solusi dan pengimbang kepada keresahan yang ditanggung oleh rakyat Malaysia akibat kebejatan amalan politik parti berkuasa kini,” ujarnya.

Mengulas lanjut, Zolkharnain menyifatkan reaksi tersebut sebagai wajah sebahagian agamawan di negara ini yang menjadikan agama hak eksklusif mereka.

“Agama ditafsir sekehendak hati seolah-olah hanya tafsiran mereka sahaja tentang agama adalah benar dan terpakai.

“Oleh kerana, mereka mengetuai persatuan agama dan bekerja di institusi berlabel agama, maka kalimah haram dan halal menjadi hak mutlak mereka.

“Kalimah itu boleh dilabel kepada sesiapa saja yang mereka lihat tidak seiring dengan wajah agama yang mereka mahu.

“Agamawan sebegini tidak membina imej positif agama tetapi menconteng wajah agama dengan arang ekstremisme. Islam yang asasnya adalah rahmat dan keadilan menjadi rosak angkara agamawan yang berasa diri mereka suci berbanding orang lain,” ujarnya lagi.