Malaysia Dateline

Agenda Pas-Umno tidak sesuai berada dalam kerajaan PH

Agenda Pas dan Umno yang bergantung kepada sentimen perkauman dan agama bagi meraih sokongan tidak  sesuai untuk berada dalam kerajaan hari ini, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Permatang Pasir, Faiz Fadzil.

Beliau berkata, agenda PH amat jauh berbeza kerana membawa agenda rahmat untuk semua kaum di bawah wawasan kemakmuran bersama.

“Keberadaan kedua-dua parti tersebut boleh menyebabkan ekonomi negara kembali teruk setelah mula menunjukkan pemulihan di bawah kepimpinan Tun Mahathir Mohamad.

“Umno-BN yang terpalit dengan pelbagai skandal rasuah daan salahguna kuasa akan menyebabkan pelabur hilang keyakinan untuk melabur di sini.

“Pelaburan asing terus (FDI) telah meningkat mendadak sejak pentadbiran baru PH dengan lonjakan 48 peratus atau RM80.5 bilion pada tahun 2018 jika dibandingkan sebanyak RM54.4 bilion pada tahun 2017,” ujarnya ketika ditemui semasa menyantuni penduduk uzur di kawasan Dun Permatang Pasir pada Isnin.

Malah kata beliau, kedudukan Indeks Persepsi Rasuah (CPI) yang semakin baik ke tangga 51 menarik keyakinan pelabur.

Tambahnya, Pas sebagai parti yang ekstrim akan menakutkan pelabur asing dan boleh mengancam perkembangan pelbagai sektor ekonomi seperti perdagangan dan pelancongan.

Sehubungan itu katanya, demi kelangsungan rangsangan ekonomi kini, adalah lebih baik Pas dan Umno kekal sebagai pembangkang dan tidak perlu membuat bising.

“Berhentilah berlagak seperti kera yang sedang bergayut menjerit-jerit tanpa tujuan kerana kejayaan kerajaan hari ini cukup stabil dan kompeten untuk membawa perubahan dalam urus tadbir dan fiskal negara.

“Cukuplah Pas dan mimpinya menjadi ‘King Maker’ kerana Tun Mahathir sebagai Pengerusi PH telah berjaya mentadbir negara dengan baik.

“Sejajar itu, peralihan kuasa pasti ditentukan oleh Majlis Presiden PH dan biarlah kebijaksanaan pimpinan utama PH yang mencari solusi terbaik, ” saran beliau.