Agenda peduli rakyat tetap diteruskan di Permatang Pasir, kata Faiz

Agenda peduli rakyat tetap diteruskan di Permatang Pasir, kata Faiz
Faiz Fadzil (tiga dari kiri) menyampaikan sumbangan kerusi dan meja bnagi kelas pengajian Al Quran Dun Permatang Pasir semalam.

Walaupun program dan aktiviti begitu ketat, ia tidak langsung menghalang Ahli Dewan Undangan Negeri(Adun) Permatang Pasir, Faiz Fadzil untuk meneruskan agenda peduli rakyat khususnya bagi kawasan Dun Permatang Pasir.

Bersama-sama dengan agensi kerajaan seperti Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Pejabat Daerah Seberang Perai Tengah serta juga MPKK dan beberapa agensi yang lain Faiz turun padang bagi meninjau mangsa ribut yang memerlukan sokongan.

Malah ia bersama-sama dengan petugas Pusat Khidmat Dun Permatang Pasir mengambil inisiatif segera dengan membantu meringankan beban yang ditanggung oleh mangsa yang mana bumbung kediaman diterbangkan angin, rumah yang dihempap pokok dan seumpamanya.

Menurut Faiz lagi, agensi-agensi kerajaan telah mengakseskan segala keperluan yang ada sejak hari kejadian sehinggalah kini dengan memberi pelbagai dokongan agar masalah kediaman mangsa dapat diatasi dengan kadar segera.

“Meneruskan gerak kerja peduli rakyat sebagai elemen rahmatan lil alamin dengan melawat beberapa buah rumah yang perlu dibaiki dengan segera akibat kejadian ribut baru-baru ini.

“Kerjasama yang diberikan oleh APM, Pejabat Daerah Seberang Perai Tengah dibawah seliaan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) amat menggalakkan serta dapat meringankan beban mangsa.

“Gerak kerja turun padang ini menjadi rutin dan akan senantiasa dilaksanakan bukan saja kepada mangsa bencana dan musibah tetapi juga kepada mereka yang memerlukan dalam aspek pendidikan, kesihatan dan seumpamanya,” ujar beliau.

Selain Dun Permatang Pasir, Faiz bersama-sama dengan Ketua Pemuda AMANAH, Sany Hamzah serta pimpinan AMANAH Pulau Pinang turut menziarahi dan menyampaikan sumbangan kepada beberapa mangsa ribut di Sungai Dua, Tasek Gelugor semalam.

Sehubungan itu Faiz juga berkata ia akan meneruskan agenda turun padang dengan memberi sumbangan peralatan kelas pengajian Al Quran bagi Dun Permatang Pasir termasuk kerusi dan meja tambahan.

Tegasnya, pembangunan modal insan juga perlu dipenuhi dengan kekuatan rohani melalui pengajian, pemahaman dan amalan pemikiran Al-Quran.