Agenda pembaharuan yang tersilap atau Melayu termakan hasutan?

Ahmad Lutfi OthmanMenghampiri tempoh sepuluh bulan pentadbiran baharu kerajaan Pakatan Harapan, Februari lalu, saya siap menyusun buku Revolusi Tanpa Darah. Rakaman pengalaman gilang-gemilang regim kleptokrasi Umno-BN ditumbangkan itu menjadi kenangan paling manis-indah, sekali gus membentangkan cabaran besar merealisasi agenda reformasi.

Keghairahan meraikan kemenangan terpancar di mana-mana. Udara segar dihirup nyaman. Biarpun galasan amanah terbeban berat, terutama menyedari pemerintahan terdahulu meninggalkan banyak kerosakan, namun harapan rakyat tetap menyerlah. Kita bersama-sama memahat sejarah baharu. Sekurang-kurangnya era lampau yang sarat korupsi, ketirisan-pembaziran, nepotisme, ketempangan, salahguna kuasa telah ditamatkan.

Saya sengaja memilih istilah “revolusi” bagi menggambarkan perasaan lapang-senang-lega dengan aksi majoriti rakyat untuk mendakap perubahan. Biarpun ia bersifat revolusi elektoral tanpa menumpahkan darah dan menggunakan kekerasan, namun makna tersiratnya Malaysia sudah melangkah ke gerbang pembaharuan, dengan tekad waja meninggalkan segala kebobrokan. Kita berazam untuk berubah sepenuhnya, mencabut segala kelaziman buruk yang berakar umbi.

Sudah pasti ada pihak memperlekeh kalimat revolusi itu khususnya daripada kalangan pembangkang. Saya sendiri tidaklah merujuk istilah keramat tersebut dengan peristiwa bersejarah dunia lainnya, seperti revolusi-revolusi Perancis Rusia ataupun Iran. Memang tiada kebangkitan rakyat yang memenuhi jalan-jalan raya sehingga regim lama ditumbangkan atau institusi pemerintahan sebelumnya dimansuhkan. Tiada ketua negara yang dipenggal kepala, tiada anak-cucu pemimpin yang diusir, tiada orang besar dan menteri yang dirampas harta; segalanya menurut lunas undang-undang.

Melihat gelombang kesedaran rakyat dan tuntutan perubahan yang menyeluruh, walaupun gabungan pembangkang waktu itu diketuai bekas perdana menteri yang pernah berkuasa lebih 22 tahun, perubahan yang dijanjikan Pakatan Harapan bukan lagi bersifat kosmetik. Amalan korupsi, tidak demokratik dan salahguna kuasa sudah berakar lama perlu dicabut akar umbinya. Namun, tentunya ia tidak berlaku dalam sekelip mata. Perubahan harus berjalan lancar, tidak gopoh-gapah, mengikut prioriti, namun jangan pula meremehkan aspirasi rakyat. Usah ada yang cuba mengkhianati iltizam pembaharuan.

Alhamdulillah, kerajaan mempamerkan komitmen tinggi menunaikan janji perubahan, khususnya bagi membanteras rasuah, membersihkan sistem pentadbiran, mengawal selia kewangan secara berhemat, mewujudkan good governace, menjamin kebebasan bersuara dan keterbukaan, juga mereformasikan institusi strategik seperti SPR, SPRM, Parlimen dan sebagainya.

Bagaimanapun, kritikan pembangkang, yang menyaksikan gabungan baharu Umno-Pas (sebenarnya ia tertangguh selama ini), menimbulkan isu-isu yang menarik perhatian dan sentimen orang Melayu. Bermula dengan perlantikan bukan Islam mengisi posisi strategik dalam kabinet dan pentadbiran, tohmahan Jakim bakal dimansuhkan, bantuan golongan miskin dikurangkan. Kedudukan Melayu-Islam pula digambarkan semakin terancam dan tergugat. Suara-suara yang mempersoal keistimewaan pribumi dan kedudukan raja-raja Melayu semakin lantang.

Keghairahan membentuk taawun siyasi Umno-Pas turut didorong dengan data-data PRU14 yang menunjukkan lebih kurang 30 kerusi Parlimen PH bakal bertukar tangan jika kedua-dua parti Melayu itu bekerjasama dan mengelak pertandingan tiga penjuru. Jumlah kerusi itu sudah cukup untuk memastikan Pakatan Harapan hanya kerajaan sepenggal. Beberapa negeri juga dijangka dikuasai BN-Pas, misalnya Kedah dan Perak. Ia adalah andaian tanpa memikirkan faktor pemboleh ubah yang lain.

Keterbukaan kerajaan juga dikatakan menyuburkan lagi ruang perdebatan awam, termasuk mengenai isu-isu sensitif kaum dan agama. Malah, tohmahan dan fitnah disebarkan secara meluas. Khabar angin yang ternyata palsu, asalkan dipercayai dapat mempengaruhi sentimen politik khalayak Melayu, dikongsi tanpa rasa bersalah. Umum menyangka kebebasan bersuara seolah-olah boleh mengizinkan pendustaan dan adu-domba. Hujah mudah mereka, kalau bohong ambillah tindakan mahkamah! Jentera kerajaan pula dilihat tidak proaktif berusaha menyanggah berita palsu itu, sekali gus memberi penjelasan sewajarnya. Maka pemerintah seolah-olah diserang dan diasak bertubi-tubi dari tiap penjuru, bagai kerajaan yang tidak dihormati kerana kurang ketegasannya.

Kongkongan terhadap kebebasan bersuara merupakan isu turun-temurun yang diwarisi di zaman Perikatan-BN. Media dikawal ketat elit pemerintah melalui syarat pemilikan permit, kandungan dipantau rapi dan rangkaian pengedaran. Akta drakonian yang menekan menjadi perisai dan senjata untuk melumpuhkan pembangkang dan suara berbeda daripada pemerintah. Tiba-tiba sahaja, sejurus PRU14 rakyat merasa lapang dan lega menghirup udara segar kebebasan.

Namun begitu, banyak pihak merasakan Malaysia masih rapuh untuk menerima keterbukaan seumpama itu. Bebas yang bertanggungjawab, tidak menghalalkan pembohongan dan fitnah, juga menghormati undang-undang dan peraturan. Asa kritikan, sekurang-kurangnya perlu keutamaan dalam agenda reformasi, berdasarkan keperluan, Dari satu sisi kerajaan dilihat tidak bersikap tegas sehingga sentimen agama dan sensitiviti kaum senang dimanipulasi sewenang-wenangnya. Makin menular-biak faham ketaksuban dan kebencian sesama warga hanya kerana anutan politik berbeda.

Masa sama, dikatakan terdapat sebilangan kakitangan awam di kedudukan strategik bagai tidak menghormati atau akur dengan perintah menteri. Insiden terpencil ini mungkin juga tercetus susulan daripada sikap baru kerajaan yang melarang campur tangan politik dalam pentadbiran. Kesan yang tidak dijangka daripada dasar yang baik ini, ia turut menyukarkan proses pembaharuan perkhidmatan awam. Walhal kerajaan baharu dipilih demi melaksanakan reformasi dan perubahan.

Saya tidak percaya dengan dakwaan ada perancangan atau komplot peringkat tertentu dalam pentadbiran awam untuk mensabotaj kerajaan baharu. Mungkin ada pihak tidak bersungguh membawa perubahan atau kelompok berkepentingan yang mempertahankan “cara dan kaedah lama”, misalnya dalam agihan projek, yang menguntungkan mereka.

Terlintas kenyataan perdana menteri, Mei lalu, setahun selepas PH mengambil alih. “Ada yang berpendapat kerajaan yang ada ini tidak sebaik kerajaan yang baru lepas kerana kerajaan ini tidak membenarkan kita menerima wang rasuah. Justeru, mereka menganggap bahawa kerajaan ini tidak harus diteruskan, sebaliknya kembali kepada kerajaan rasuah yang akan menguntungkan,” tegas Dr Mahathir Mohamad, di Ipoh.

Maknanya, ada kelompok tertentu, yang kurang selesa apabila dasar baharu menutup ruang bagi memperkaya diri atau mengutip kruntungan mudah, yang diwarisi zaman berzaman. Ya, tidak mudah, untuk mencetuskan perubahan apabila terdapat sebilangan pelaksana dasar bersikap engkar atau berkepentingan. Menyemai budaya bersih, jujur, berintegriti tinggi, menolak rasuah dan nepotisme bukan mudah dilihat hasilnya; ia seringkali menghadapi rintangan dalaman.

Media bebas, berwibawa

Saya mengharapkan media yang lebih bebas, berwibawa dan berani, mampu membongkar serta mendedahkan amalan salahguna kuasa, pilih kasih dan penguasaan kartel tertentu, sekali gus membantu merancakkan agenda pembaharuan yang didamba rakyat. Korupsi adalah jenayah yang paling sukar dibanteras kerana saksi selalu memilih untuk berdiam diri. Rasuah juga tidak mempunyai “mangsa” seperti perilaku jenayah lainnya. Kita amat perlukan agensi penguatkuasa, seperti SPRM dan PDRM yang berani-tegas tanpa memilih bulu.

Reformasi sistem dan struktur mungkin belum berjalan dengan sempurna, atau sukar dipinda dan dimansuhkan namun dalam kes tertentu juga, ia boleh menimbulkan impak yang agak kurang menyenangkan, namun proses pembaharuan ini tidak harus terbantut atau ditangguhkan. Kerajaan harus dihormati kerana ketegasannya terutama bagi memulihara ketenteraman dan keharmonian, bukan kerana elemen kerasnya. Dan tidak juga sengaja diremehkan sehingga peraturan dan undang-undang tidak lagi dipatuhi.

Rakyat pastinya mengharapkan perubahan positif yang memberi kesan langsung kepada kehidupan harian, seperti penurunan kos sara hidup dan barangan asas, peluang pekerjaan, kenaikan harga sawit dan getah, bantuan kepada golongan petani, penternak dan nelayan, di samping isu-isu seperti pemuliharaan alam sekitar kebanjiran pendatang asing dalam pasaran kerja, jurang pendapatan melebar di antara kaya-marhaen dan kemiskinan bandar. Laporan PBB tentang garis kemiskinan wajar diteliti. Kerajaan perlu tampil segera menjawab keresahan rakyat itu, tanpa mengetepikan tuntutan berkaitan pendemokrasian dan hak asasi.

Bagaimana pula dengan kebimbangan yang muncul daripada kempen tersusun pembangkang Umno-Pas mengenai survival bangsa dan agama? Apakah ia hanya riuh-rendah di media sosial atau bersambut melalui aplikasi Whatsapp sahaja? Sedangkan realitinya, rakyat tetap meraikan usaha positif kerajaan meningkatkan kualiti hidup. Benarkah jika kerajaan dapat tangani dengan baik persoalan-persoalan kritikal rakyat, khususnya berkaitan ekonomi, maka isu-isu “jadian” dan bermusim itu akan turut reda? Oposisi bergelut memesongkan perhatian umum daripada mengikuti perbicaraan berprofil tinggi bekas perdana menteri, presiden Umno dan konco-konco mereka. Ataupun kerajaan juga perlu menyusun prioriti atau tertib agenda pembaharuan, serentak meneliti janji-janji manifesto yang perlu ditunaikan?

Kalau bertanya saya secara peribadi, tentu masih banyak ruang untuk ditambah-baik. Ada aspek tertentu diberi kesegaran baru, bukan sahaja daripada segi operasi, tatacara dan pelaksanaan, tetapi juga aspek falsafah, semangat dan orientasi. Perubahan kosmetik dan luaran semata, dengan meneruskan tradisi dan rutin lapuk, umpama berpusing-pusing di titik sama.

Dalam keadaan uzur sukar saya menghayati keluh-kesah dan keresahan rakyat yang menyeluruh. Namun, tentu ada sesuatu yang janggal apabila tinjauan rambang menunjukkan hasutan Umno-Pas mempunyai kesan terhadap imej kerajaan.

Mungkin imiginasi dan impian saya tidak sebesar dan sehebat orang lain. Saya boleh memahami kekangan pemerintah, kekurangan pengalaman jemaah menteri dan jentera pentadbiran, ditambah bagasi enam dasawarsa regim terdahulu. Kita boleh bersabar memetik hasil benih yang ditanam, tetapi mungkin tidak kepada golongan majoriti, termasuk golongan muda sekitar umur 18 tahun, yang bakal mengundi dalam PRU15. Mereka mungkin tidak terdedah dengan pengalaman pahit pentadbiran kleptokrasi Najib-Zahid.