Agenda perangi rasuah agenda serius

Agenda perangi rasuah agenda serius

ULASAN: Sudah berlalu himpunan rakyat “Sayangi Malaysia, Hapus Kleptokrasi” sabtu lalu. Sudah berlalu acah mengacah dan sindir menyindir. Sudah berlalu acara, ucapan dan ikrar.

Apa yang tinggal sekarang ialah keazaman, keyakinan dan pembuktian kata-kata. Apa yang tinggal sekarang ialah huraian penyelesaian. Apa yang tinggal sekarang ialah kepercayaan rakyat kepada apa yang dibawa oleh Pakatan Harapan berbanding Umno BN.

Saya sedar ada di kalangan rakyat yang tidak tahu menahu tentang himpunan tersebut. “Acara apa kat PJ ramai-ramai tu?” soal mereka. “Kenapa perlu berhimpun dari petang sampai malam?” tanya mereka.

Malah ada yang tidak faham pun apa makna kleptokrasi. Tidak kurang juga yang suka buat perbandingan antara satu himpunan dengan himpunan yang lain. Penganjur boleh ambil iktibar daripada komentar begini untuk menggiatkan aktiviti penerangan namun ia tidak bermakna himpunan satu kegagalan.

Di kalangan penganalisis politik dan pemimpin Umno BN sibuk mengkritik ucapan pemimpin-pemimpin pada hari itu. Mereka kata ucapan banyak mengitar semula tuduhan-tuduhan terhadap Datuk Seri Najib Razak.

“Isu basi dan diulang tayang. 1MDB, GST, 2.6 bilion dan tangkap MO1”, ujar Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi.

Media Umno BN berkata Datuk Seri Najib sebelum ini menegaskan di pihaknya tidak ada salah laku dan beliau sendiri mengarahkan Parlimen dan pihak yang berkenaan menyiasat kemelut kewangan 1MDB. Siasatan dilakukan tanpa campur tangan dan tindakan-tindakan tertentu sudah pun di ambil manakala 1MDB sendiri melalui proses rasionalisasi.

Nampak jelas sesetengah penganalisis politik (yang kemungkinan besar kaki ampu Umno BN) dan media propaganda Umno BN telah menutup mata dan telinga mereka kepada kecurigaan yang menyelubungi 1MDB.

Siasatan apa yang dikatakan tanpa campur tangan sedang ramai yang dipecat dan ditukar bila mempersoalkan 1MDB? Rasionalisasi apa yang dilakukan sehingga menyalahgunakan dana rakyat seperti KWAP, KWSP dan Tabung Haji? Parlimen diarah siasat tetapi kenapa soalan berkait 1MDB langsung tidak dibenarkan di Parlimen?

Bak kata Tun Dr Mahathir, mungkin mata, telinga malah hidung mereka telah disumbat dengan dedak.

Tuduhan berat ke atas Datuk Seri Najib, Jho Low, Riza Aziz, pengurusan 1MDB dan lain-lain terus diulang kerana tidak ada penjelasan yang memuaskan telah diberikan dan tidak ada siasatan menyeluruh atau pendakwaan dilakukan walaupun terdapat banyak keraguan yang mewajarkan dibuka kertas siasatan jenayah. Paling penting tuduhan berat perlu diulang ialah kerana kesan buruk krisis 1MDB kepada rakyat.

Benar, himpunan merupakan kemuncak kepada siri penerangan bersabit dakwaan skandal 1MDB. Ia merupakan ikhtiar Pakatan Harapan untuk mengajak rakyat melihat kesan buruk 1MDB kepada rakyat. Namun ia tidak berakhir di situ. Sebab itu pada pendapat saya, sesuatu inisiatif atau projek wajar dilihat dan dinilai secara menyeluruh.

Jika dilihat, jelajah “Sayangi Malaysia, Hapuskan Kleptokrasi” telah dimulakan beberapa bulan sebelum himpunan ke seluruh negara sama ada di bandar atau luar bandar. Risalah penerangan dan maklumat bergrafik turut diedar dan ditular. Ia bukan sahaja dihadiri rakyat tetapi ditonton ratusan ribu rakyat melalui media sosial. Ia medan dan pelantar untuk rakyat mendapat maklumat terkini dan membuat penilaian mana yang benar dan mana yang palsu, mana yang hak dan mana yang batil.

Dalam himpunan pula, pemuda Pakatan Harapan telah menyuarakan hujah mereka tentang keadaan semasa kehidupan sebagai warga anak muda negara yang dirundung kesempitan hidup akibat najis rasuah. Anak muda menghadapi kesukaran peluang pendidikan dan pekerjaan di samping terbelenggu dengan hutang. Pimpinan pemuda mahu anak muda bandingkan dalam keadaan anak muda begini, negara di bawah kepimpinan Datuk Seri Najib boleh hilang wang rakyat berbilion ringgit di bawah skandal 1MDB.

Dalam himpunan sabtu lalu juga, pemimpin Pakatan Harapan menyuarakan kebimbangan mereka akan nasib rakyat di bawah rejim parti pemerintah Umno BN.

Soal najis rasuah, walaupun berlaku beberapa tangkapan di sana dan sini oleh SPRM, namun masih tidak dapat menangani najis rasuah dan salah guna kuasa terbesar, 1MDB. Rakyat tidak lagi boleh berdiam diri. Rakyat perlu bangkit.

Menurut Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Presiden Pakatan Harapan dan Parti Keadilan Rakyat, rakyatlah yang menentukan siapa di atas dan rakyatlah yang boleh menentukan pimpinan jatuh. Katanya lagi, jangan kita lupakan Anwar Ibrahim, Tian Chua dan ramai lagi yang telah berkorban hingga rakyat berada dalam keadaan kuat pada hari ini.

Pada akhir himpunan, Tun Dr Mahathir Mohamad, Pengerusi Pakatan Harapan telah menggariskan lima tindakan utama Pakatan Harapan dalam membersihkan negara daripada najis rasuah. Ini menurutnya sebahagian daripada agenda anti-rasuah Pakatan Harapan yang bertekad menjadikan Malaysia antara 10 negara paling bersih di dunia menjelang 2030.

Lima tindakan tersebut ialah menangkap MO1 dan “ikan-ikan jerung” lain; menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Di-Raja (RCI) terhadap penyelewengan wang rakyat melalui 1MDB dan FELDA; menubuhkan sebuah badan bebas yang akan berusaha mengembalikan aset dan wang rakyat yang telah dicuri atau diseleweng melalui rasuah; menjadikan SPRM sebuah badan bebas yang melapor terus kepada Parlimen; dan menghapuskan amalan runding terus (direct nego) untuk semua kontrak kerajaan.

Justeru, apakah di situ berakhir usaha dan tawaran daripada Pakatan Harapan? Sudah tentu tidak. Sebenarnya lima tindakan tersebut hanya sebahagian daripada manifesto anti-rasuah yang lebih terperinci oleh Pakatan Harapan.

Agenda perangi rasuah merupakan agenda besar yang melibatkan antaranya, reformasi institusi seperti SPRM, undang-undang, peruntukan perbelanjaan, penguatkuasaan, perjawatan, tata kelola sumbangan politik, peningkatan ketelusan dan peningkatan budaya anti-rasuah.

Ia merupakan agenda yang paling serius dan sudah tentu bukan sahaja mengambil kira skandal mega 1MDB, tetapi juga lain-lain skandal yang mula terbongkar seperti FELDA, MARA dan lain-lain. Nantikan manifesto penyelesaian oleh Pakatan Harapan. Pandangan dan maklum balas rakyat amat dialu-alukan kerana negara ini tanggungjawab kita bersama.

*Penulis Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat