Agenda PRK ini adalah Pakatan Harapan lawan Barisan Nasional

Agenda PRK ini adalah Pakatan Harapan lawan Barisan Nasional

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Pertandingan di Sungai Besar dan Kuala Kangsar dalam pilihan raya kecil kali ini adalah antara Barisan Nasional (BN) melawan Pakatan Harapan (PH) manakala Pas hanya blok ketiga sahaja.

Inilah agenda yang cuba disetkan dalam kedua-dua pilihan raya kecil ini,  pertembungan pertama yang penuh makna antara PH lawan BN yang bakal menjadi indikator penting menjelang pilihan raya umum ke 14 nanti.

“Kita sedang berusaha keras bagi memastikan pertembungan PRK ini antara PH lawan BN khasnya Umno tanpa mengira parti manapun akan mewakili PH,” kata seorang pemimpin PH yang enggan namanya disiarkan.

Menurut beliau, sumber dalam PKR sedang berusaha keras bagi memastikan perkara ini menjadi kenyataan dalam pilihan raya ini.

Menurut beliau lagi, bagi membolehkan BN dikalahkan, senario terbaik adalah Amanah mewakili PH bertembung dengan BN di Sungai Besar manakala Pas lawan BN di Kuala Kangsar.

“Namun, oleh kerana Pas berkeras dan tidak mahu berunding, cara terbaik dalam pilihan raya ini adalah mengukuhkan PH melalui pilihan raya ini bagi persiapan PRU 14.

“Untuk itu, Amanah, PKR dan DAP perlu kompak melawan BN dan ketepikan Pas,” kata beliau kepada Malaysia Dateline.

Untuk itu, katanya, besar kemungkinan Amanah dan PKR akan menyertai pilihan raya ini mewakili PH dengan masing-masing bertanding satu kerusi melawan Pas dan BN.

“Hanya dengan cara ini, PKR akan betul-betul jelas bersama PH dan tidak kluk klek lagi,” katanya.

Pas sudah beberapa kali menegaskan akan menghantar calon untuk kedua-dua pilihan raya kecil ini.

Namun Pas juga memberitahu, rundingan hanya akan berlaku dengan PKR saja tanpa melibatkan Amanah.

Menurut seorang pemimpin kanan Pas, Pas hanya sedia bertanding satu kerusi saja jika satu kerusi lagi ditandingi oleh PKR.

“Jika Amanah turut serta, kita akan lawan juga di kerusi itu,” kata pemimpin kanan Pas itu.

TAGS