Agenda reformasi kejayaan terbesar PH

Agenda reformasi kejayaan terbesar PH

Agenda reformasi masih diteruskan kerajaan Pakatan Harapan (PH) dan ia merupakan kejayaan terbesar gabungan parti itu setakat ini. kata Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim..

Beliau berkata agenda reformasi itu meliputi menolakpelaku salahguna kuasa, rasuah dan menipu rakyat serta mengheret mereka yang merompak dana kewangan negara ke mahkamah.

“Jadi keadaan sudah berubah…bezanya kita bukan fitnah, hasut atau dendam tetapi kita siapkan keterangan dan fakta supaya orang yang bertanggungjawab merompak khazanah negara harus dihukum dan ganti balik duit rakyat.

“Ini tak ada tolak ansur. Kalau dulu ramai yang diheret sama ada di mahkamah dipukul atau ditelanjangkan termasuk saya, (Timbalan Presiden PKR Mohamed) Azmin (Ali) dan (Veteran DAP Lim) Kit Siang. Ini harus dihentikan.Walau dia tokoh UMNO, MIC, MCA kita tak ada niat sama sekali nak beri tekanan melainkan mereka yang melakukan jenayah dan rasuah kita hadapkan ke mahkamah,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Amanat Khas sempena sambutan ulang tahun ke-20 PKR di Dataran Rembau di sini, tadi

Turut hadir, Pengerusi Majlis Penasihat PKR, yang juga Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail serta barisan pimpinan PKR.

PKR dilahirkan daripada gelombang reformasi yang melanda negara selepas pemecatan Anwar daripada UMNO pada 2 Sept 1998.

Ia secara rasmi ditubuhkan pada 4 April 1999 selepas diluluskan oleh Pendaftar Pertubuhan (ROS) menggunakan nama Parti Keadilan Nasional (Keadilan).

Keadilan menyertai pilihan raya pertamanya pada usia parti itu tujuh bulan pada 1999 dan selepas itu parti berkenaan mula bergabung dengan Parti Rakyat Malaysia (PRM) membentuk PKR pada 3 Ogos 2003, dengan Dr Wan Azizah sebagai presiden  pertama.

PKR pernah menganggotai beberapa gabungan antaranya Pakatan Rakyat dan kini PH.- BERNAMA