Malaysia Dateline

Agensi keselamatan diseru berkecuali, bertindak profesional tangani PRU

Persatuan Patriot Kebangsaan (Patriot) menyeru semua agensi keselamatan, pertahanan dan perisikan negara iaitu Angkatan Tentera Malaysia dan Polis Diraja Malaysia agar berhati-hati, berkecuali dan professional dalam menangani apa-apa kemungkinan yang kelak terjadi sebelum dan pasca tempoh PRU.

“Patriot ingin menyatakan keprihatinan kami dan mengambil pandangan berhati-hati tentang apa yang mungkin berlaku kepada negara, sebelum dan pasca tempoh PRU.

“Peranan utama agensi-agensi negara seperi yang disebut adalah untuk melindungi dan mempertahankan negara dan rakyatnya. Ia bukan untuk melindungi dan mempertahankan mana-mana parti politik,” kata presidennya, BG Dato Mohamed Arshad Raji (B) dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut beliau, cakap-cakap Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) yang dijadualkan berlangsung pada suku pertama 2018 mengatakan akan terjadi pertembungan sengit di antara pihak-pihak yang bertanding, iaitu Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH).

“Keadaan semasa negara hari ini, khususnya berhubung kenaikan kos sara hidup, nilai ringgit yang melemah berbanding mata wang serantau, kehilangan pekerjaan dalam sektor swasta dan lain-lain cabaran ekonomi dan sosial telah memberi tekanan besar kepada rakyat.

“Kini, ia terserah kepada kerajaan untuk mencari jalan dan cara pemulihan untuk mengatasi tekanan ekonomi dan sosial yang dihadapi rakyat. Kegagalan untuk membendung masalah ini akan mengakibatkan malapetaka dalam keputusan pilihan raya buat koalisi (coalition) pemerintah dalam PRU yang akan datang,” kata beliau.

Kata beliau lagi, skandal 1MDB yang telah menghantui negara sekian lama, masih belum menemui jalan penyelesaiannya dan mereka yang terlibat masih berada dalam mod penafian (denial mode) sejak skandal itu muncul buat pertama kali.

“Rakyat amat prihatin terhadap masa depan ekonomi yang tidak menentu. Masalah ini dan ketidakpastian tentang masa depan yang dibebani oleh skandal 1MDB yang tidak diurus secara telus dan hutang besar yang masih belum dibayar. Kami tidak mahu negara kita menjadi seperti Greece atau Cyprus.

“Di samping kebimbangan rakyat mengenai ekonomi dan tekanan sosial yang dihadapi mereka, iaitu untuk menyediakan makanan yang mencukupi untuk keluarga, bil-bil bulanan yang perlu dibayar dan lain-lain komitmen kewangan, satu kerisauan bersasas yang timbul ialah perkara yang tidak diingini akan berlaku terhadap negara dan keluarga mereka sekiranya proses pilihan raya tidak berjalan lancar, mahupun sebelum ataupun pasca tempoh PRU,” sambung beliau.

Tambah beliau, tuduhan ‘gerrymandering’ terhadap Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan peningkatan mendadak jumlah pengundi pos, boleh dilihat sebagai tindakan memihak kepada parti yang memerintah.

“Dakwaan sedemikian sekali-kali tidak menyenangkan parti-parti politik yang bertanding. Hal ini boleh menyebabkan ketidakpuasan hati rakyat yang boleh menjurus kepada pergolakan politik dalam negara.

“Latihan yang dijalankan baru-baru ini oleh pasukan polis khas, kononnya satu latihan bertujuan mengantisipasi sebarang kemungkinan yang mungkin terjadi semasa PRU akan datang, telah menambah keraguan dalam fikiran rakyat bahawa sesuatu yang tidak diingini mungkin berlaku. Latihan sedemikian tidak pernah dilaksanakan pada masa lalu,” kata beliau.