Malaysia Dateline

Agensi keusahawanan perlu permudah urusan usahawan, kata Exco

Semua agensi yang berkaitan dengan keusahawanan diminta sentiasa membimbing dan mempermudahkan segala urusan termasuk bantuan pinjaman terutama melibatkan usahawan wanita.

Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Pendidikan Islam, Industri, Luar Bandar dan Pembangunan Usahawan negeri Perak, Asmuni Awi berkata usaha sedemikian dapat menggalakkan lebih ramai terlibat dalam bidang keusahawanan.

“Saya yakin sekiranya mereka ini dapat dibantu, industri keusahawanan akan berkembang maju dan usahawan dapat meraih pendapatan lumayan dan menyara keluarga, “ katanya kepada Bernama selepas merasmikan Majlis Penutup Seminar Usahawanita 2019 di Seri Iskandar, pada Ahad.

Seramai 129 usahawan dari pelbagai bidang dari daerah Perak Tengah dan Manjung hadir ke seminar sehari anjuran Pertubuhan Kesedaran Pengguna Perak (Penyedar) itu.

Asmuni berkata pihaknya sedang berusaha mendapatkan kerjasama daripada Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) agar dapat membuka pejabat di Pusat Pembangunan Usahawan, Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) di sini, bersama agensi lain seperti SME Corporation Malaysia (SME Corp), Majlis Amanah Rakyat (Mara) dan Tekun Nasional.

“Dengan kehadiran SSM itu nanti, pusat sehenti kepada usahawan dan bakal usahawan akan lebih lengkap untuk mereka mendapat maklumat berkaitan inisiatif kerajaan, pembiayaan serta pinjaman kewangan,” katanya.- BERNAMA