Malaysia Dateline

Agensi penarafan antarabangsa tidak turunkan penarafan Malaysia

Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata agensi penarafan antarabangsa tidak menurunkan penarafan Malaysia, walaupun menurunkan unjuran kadar pertumbuhan negara.

Beliau berkata ia menunjukkan agensi penarafan yakin dengan komitmen kerajaan Pakatan Harapan (PH) dalam memulihkan kedudukan fiskal dan kewangan negara.

“Kalau kita lihat dari segi agensi penarafan, sungguhpun mereka buat unjuran bahawa pertumbuhan akan lebih rendah, tetapi dari segi ‘rating’(penarafan) Malaysia masih kekal.

“Ini suatu petanda yang amat penting bahawa mereka masih yakin ke atas komitmen pihak kerajaan untuk memastikan kita dapat memulihkan kedudukan fiskal dan kewangan negara,” katanya ketika menggulung perbahasan peringkat dasar Belanjawan 2019 bagi kementeriannya di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab celahan Datuk Seri Najib Tun Razak (BN-Pekan) berhubung syarikat Fitch yang menurunkan unjuran kadar pertumbuhan Malaysia kepada 4.6 peratus untuk tahun ini dan 4.2 peratus bagi tahun depan.

Dalam perkembangan lain, Lim berkata kementeriannya masih menunggu butiran lanjut daripada Sururuhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) bagi memuktamadkan kerangka pelaksanaan skim FundMyHome.

“Marilah kita tunggu butiran lanjut apabila ia diumumkan secara muktamad dan kita tunggu daripada SC supaya boleh ada transaksi dan perdagangan untuk baki 80 peratus itu,” katanya.

Skim tersebut menawarkan kepada pembeli rumah pertama untuk membayar hanya 20 peratus untuk memiliki rumah manakala bakinya ditampung oleh pelabur menerusi kerangka pembiayaan rakan setara.

Dewan Rakyat kemudian meluluskan Belanjawan pertama bagi kerajaan PH di peringkat dasar.

— BERNAMA