Agensi penarafan terkemuka dunia yakin dengan kerajaan PH

Agensi penarafan terkemuka dunia yakin dengan kerajaan PH

 

Selepas lebih setahun memegang tampuk pemerintahan negara, kerajaan Pakatan Harapan (PH) telah berjaya mengekalkan keyakinan agensi-agensi penarafan terkemuka dunia seperti Moody’s, Fitch Ratings dan S&P terhadap pengurusan fiskal Malaysia.

Timbalan Ketua Pemuda Parti Amanah Negara (AMANAH), Faiz Fadzil berkata, semua agensi ‘Big Three’ telah mengklasifikasikan rating kredit Malaysia sebagai ‘investment grade’ yang menunjukkan kredibiliti ekonomi negara, tahap risiko yang rendah dan kualiti kredit yang tinggi.

Beliau berkata, ini membuktikan pimpinan negara berada atas landasan yang betul dan kritikan para pembangkang adalah jauh meleset.

Katanya, ketelusan dan strategi kerajaan PH menguruskan beban hutang dan liabiliti negara, yang ditinggalkan oleh pimpinan Najib Razak, merupakan teras keyakinan agensi-agensi penarafan ‘Big Three’ dan para pelabur terhadap Malaysia.

“Tahniah kerajaan PH atas keputusan Fitch Ratings pada 18 Julai lalu yang telah mengekalkan penarafan atau ‘rating’ Malaysia pada A- iaitu ‘investment grade’, di samping unjuran ‘stabil’. Berita baik ini diterima lebih kurang 2 minggu selepas satu lagi agensi penarafan ‘Big Three, Standard & Poor’s (S&P) telah mengesahkan rating Malaysia pada A- dan unjuran stabil.

“Dalam analisis terbarunya, Fitch Ratings telah menyatakan pertumbuhan ekonomi Malaysia untuk jangka masa sederhana kekal kukuh dan disokong oleh sektor eksport yang lebih pelbagai.

“Agensi tersebut turut menjangkakan hutang am kerajaan menurun daripada 62.5% berbanding Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada tahun 2019 kepada 59.3% pada 2021. Angka hutang ini meliputi jaminan kerajaan atas hutang dan liabiliti 1MDB.

“Fitch Ratings juga menyatakan bahawa usaha kerajaan PH untuk meningkatkan ketelusan atau ‘transparency’ dan mengendalikan kes-kes penyelewengan dan rasuah berprofil tinggi akan mengukuhkan taraf tadbir urus di Malaysia pada masa akan datang. Agensi tersebut juga menerima baik tindakan kerajaan memberi tender untuk semua projek kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Faiz menambah ramai telah mempertikaikan tindakan kerajaan yang digambarkan sebagai terlalu fokus kepada usaha mengurangkan hutang negara, namun ramai tidak menyedari bahawa hutang negara yang ditinggalkan oleh kleptokrasi Barisan Nasional berada pada tahap serius.

“Agensi-agensi penarafan dunia pernah menasihatkan kerajaan untuk waspada terhadap keadaan hutang negara, sebelum kerajaan PH mengambil alih. Misalnya, Moody’s dan Fitch pernah menyatakan bahawa paras hutang negara berbanding KDNK berada pada kadar lebih tinggi daripada median negara-negara yang mempunyai rating yang sama dengan Malaysia.

“Bukan itu sahaja, Barisan Nasional sebelum ini telah menyorokkan atau ‘camouflage’ hutang negara dalam bentuk hutang kontinjen dan bayaran pajakan. Ini menjadikan jumlah hutang dan liabiliti negara lebih tinggi daripada apa yang dilaporkan.

“Paras hutang negara berbanding KDNK sepatutnya berada dalam keadaan yang sihat sepanjang masa untuk menjadi ‘buffer’ sekiranya berlaku kemerosotan ekonomi yang drastik.

“Selain itu, usaha kerajaan untuk membawa masuk kembali dana berkaitan 1MDB yang telah diseleweng dan disalah guna juga akan membantu mengurangkan hutang negara dan setakat ini, sebanyak RM925.1 juta dana berkaitan skandal 1MDB telah dipulangkan kepada pihak kerajaan.

“Menteri Kewangan YB Lim Guan Eng telah menyatakan komitmen untuk meneruskan usaha membawa masuk lebih banyak dana yang berkaitan untuk membayar hutang 1MDB berjumlah RM51 bilion,” katanya lagi.