Malaysia Dateline

Agihan BR1M berperingkat kepada 7juta penerima bermula Isnin

Proses pengagihan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dengan jumlah peruntukan kira-kira RM6.3 bilion kepada tujuh juta penerima di seluruh negara, akan bermula Isnin ini.

Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah berkata, pengagihan BR1M itu akan dilakukan secara tiga peringkat.

Beliau berkata, majlis pelancaran fasa pertama BR1M akan dilakukan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak di Dewan Konvensyen Sultan Ahmad Shah, Pekan, esok dan penerima lain boleh mula menyemak akaun bank masing-masing pada Isnin.

“Pengagihan akan diteruskan seperti sebelum ini, iaitu mereka yang layak akan menerima bantuan dalam tiga peringkat maknanya, jika mereka layak menerima RM1,200, kita agihkan RM400 dahulu dan bakinya akan dimasukkan ke akaun mereka untuk fasa kedua dan ketiga,” katanya kepada media selepas menghadiri majlis Pelancaran BAHTERA Edisi Timur 2018 di Dewan Konvensyen Antarabangsa Sultan Ahmad Shah,Kuantan, hari ini.

Majlis itu dirasmikan Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sumber Manusia dan Tugas-tugas Khas negeri, Datuk Seri Norol Azali Sulaiman mewakili Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Seri Muhammad Safian Ismail.

Terdapat 101 gerai pameran membabitkan usahawan Bumiputera disediakan untuk pengunjung pameran selama dua hari itu.