Malaysia Dateline

Agihan kerusi: Adun Kuala Semantan kecewa tapi akur keputusan pimpinan

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kuala Semantan, Syed Hamid Syed Mohamed melahirkan rasa kecewa terhadap keputusan agihan kerusi Parlimen PRU14 kepada parti AMANAH yang diumumkan pada konvensyen Pakatan Harapan (PH) kelmarin.

Dalam konvensyen yang diadakan di Shah Alam kelmarin, PH mengumumkan bahawa daripada 165 kerusi Parlimen di Semenanjung Malaysia, parti AMANAH diperuntukkan 27 kerusi sahaja.

Menurut Syed Hamid, beliau rasa kecewa kerana daripada 14 kerusi Parlimen yang ada di negeri Pahang, AMANAH hanya diperuntukkan satu sahaja iaitu kerusi Parlimen Temerloh.

Kata beliau, sewajarnya AMANAH diberikan beberapa kerusi lagi untuk ditandingi di negeri itu.

Bagaimanapun kata Syed Hamid kepada Malaysia Dateline, beliau mengucapkan terima kasih kepada pucuk pimpinan PH kerana memberikan kerusi Parlimen Temerloh kepada AMANAH yang disifatkan sebagai “kerusi Gred A” itu.

Menurut beliau, pihaknya akur dengan keputusan pucuk pimpinan AMANAH dan juga PH dalam urusan pembahagian kerusi tersebut.

Kekecewaan tersebut bagaimanapun tambah beliau, tidak akan mematahkan semangat AMANAH Pahang untuk terus bekerja keras bersama parti komponen PH yang lain untuk memastikan Barisan Nasional (BN) dapat dikalahkan pada PRU14 nanti.

Namun menurut beliau, pihaknya berharap pucuk pimpinan PH menimbangkan untuk memberikan tambahan kerusi Dun kepada AMANAH untuk ‘mengubat hati’ sekali gus bagi melancarkan perjalanan kerjasama anggota PH negeri itu menghadapi PRU14 nanti.