Malaysia Dateline

Agihan kerusi Bersatu terbanyak sangkal tohmahan PH didalangi DAP

Penganalisis politik berpendapat agihan kerusi kawasan Parlimen bagi Semenanjung yang menyaksikan Bersatu diperuntukkan 52 daripada 165 kerusi secara tidak langsung menafikan tohmahan Umno-BN kononnya Pakatan Harapan didalangi DAP.

Hisomuddin Bakar

Pengarah Eksekutif Ilham Centre, Hisomuddin Bakar berkata, pelbagai pertimbangan tentunya diambil kira dalam rundingan pembahagian kerusi antara komponen Pakatan Harapan sebelum ini dengan mengambil kira status Bersatu sebagai parti mewakili Melayu.

“Pastinya, banyak faktor antaranya bagaimana PH (Pakatan Harapan) hendak menjawab soal dominasi atau tonggak parti. Walaupun parti baru, komposisi Bersatu yang mewakili Melayu perlu signifikan untuk bertempur dengan Umno.

“Mesej perlu dihantar dengan jelas kepada pemilih terutama pengundi Melayu. Pakatan Harapan bukan alat atau percaturan politik DAP,” ujarnya ketika ditemui Malaysia Dateline sempena Konvensyen Pakatan Harapan 2018 di Pusat Konvensyen IDCC semalam.

Ditanya tentang wujudnya gejala ‘Abang Long’ dalam Pakatan Harapan berhubung agihan yang menyaksikan AMANAH diperuntukkan jumlah kerusi paling sedikit, beliau menolak tanggapan tersebut.

“Tidak wujud situasi Abang Long di sebalik agihan ini. Hanya mungkin mendatangkan sedikit ralat dan rasa tidak puas hati dalam kalangan sebahagian jentera (pilihan raya) yang sebelum ini telah bekerja keras,” katanya.

Sehubungan itu, Hisomuddin menyifatkan AMANAH boleh mengimbangi kekurangan peruntukan kerusi Parlimen tersebut di peringkat Dewan Undangan Negeri (Dun).

“AMANAH boleh membantu kekuatan Pakatan Harapan di peringkat negeri. Di Johor dengan dua kerusi Parlimen diperoleh, mereka perlu menyumbang tenaga di peringkat negeri.

“Begitu juga di Perak yang difahamkan diperuntukan empat kerusi (Parlimen) dan Kelantan, lima. Di Selangor, AMANAH terlepas Sungai Besar.

“Jadi, mungkin akan memberi impak kepada jentera pilihan raya yang bertungkus lumus pada pilihan raya kecil tahun 2016 lalu,” ujarnya.

Bagaimanapun, beliau berpendapat usaha menjatuhkan kerajaan Umno-BN dalam PRU-14 yang bila-bila masa sahaja akan diadakan ini tidak harus beralih tumpuan.

“Sudah menjadi fitrah dan lumrah politik. Apa paling utama tumbangkan rejim dan itu adalah fokus Pakatan Harapan.

“Jadi, sama ada Bersatu, PKR, DAP dan AMANAH, keempat-empat parti gabungan perlu tumpu kembali kepada objektif dan sasaran utama Pakatan Harapan pada PRU-14 ini,” tambahnya lagi.