Agihan kerusi MPKK perlu adil kepada semua komponen PH di Pulau Pinang

Oleh MALAYSIADATELINE

Pelantikan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) yang dijenamakan bagi menggantikan JKKK sebelum ini perlu dilaksanakan secara adil dan segera.

Demikian disarankan oleh Setiausaha Bersatu Bahagian Tasek Gelugor, Datuk Jasmin Mohamed ketika ditemui semalam.

Malah katanya adalah diharapkan agihan kerusi samada sebagai Pengerusi maupun Setiausaha MPKK dan jawatankuasa yang dilantik haruslah adil kepada komponen parti dalam Pakatan Harapan.

“Kini bagi setiap kawasan Dewan Undangan Negeri antara 8 hingga 10 jawatan perlu diisi.

“Agihan bagi kerusi khususnya untuk kawasan yang mempunyai ramai penduduk Melayu maka ia boleh diagihkan secara adil kepada Bersatu, PKR dan juga AMANAH.

“Begitu juga kerusi yang diagihkan bagi DAP mestilah saksama yang turut melibatkan komponen yang lain, ” jelasnya lagi.

Beliau yang juga merupakan Penyelaras Dun Permatang Berangan turut berkata, bagi kali ini Bersatu dan AMANAH adalah parti baru yang turut memainkan peranan penting jika dibandingkan dengan PKR dan Dap yang lebih senior.

OIeh kerana itu katanya dengan agihan secara adil tersebut, ia mampu memberi impak yang positif dalam gerak kerja yang akan dilaksanakan bagi kepentingan masyarakat setempat.

“Selain dari kerusi MPKK tersebut adalah wajar rombakan kerusi exco kerajaan negeri turut dilaksanakan setelah Bersatu dan AMANAH turut memenangi dua kerusi Dun.

“Namun begitu sehingga kini samada AMANAH maupun Bersatu tidak diuntukkan apa jua kerusi exco sejak pelantikan yang dibuat selepas kemenangan dalam pilihan raya umum ke 14 yang lalu.

“Sehubungan itu pelantikan yang akan dibuat melibatkan MPKK perlu diteliti dan diatur selia dengan rapi dan terurus supaya tidak ada mana-mana komponen PH yang akan tertinggal, ” ujarnya.

Beliau yang juga merupakan Setiausaha Bersatu Bahagian Tasek Gelugor turut berkata, sekiranya ini dapat dilaksanakan sudah pasti rakyat melihat wujudnya keserasian dan keadilan dalam kepimpinan yang diterajui oleh PH Pulau Pinang.

Maka itu tambahnya, semua pihak yang diberi mandat untuk membuat pelantikan tersebut haruslah peka dan telus dalam pelantikan yang akan dibuat tidak lama lagi.