Malaysia Dateline

Agihan kerusi Pakatan Harapan yakini pengundi

Penganalisis politik menyifatkan pembahagian kerusi Parlimen yang diumumkan pada Konvensyen Pakatan Harapan baru-baru ini memberi mesej positif kepada pengundi.

Pengarah Eksekutif ILHAM Centre, Hisomuddin Bakar (gambarĀ  kanan) berkata, kejayaan Bersatu, AMANAH, PKR dan DAP menyelesaikan rundingan agihan kerusi di Semenanjung itu sebagai rekod terbaik blok pembangkang tersebut.

“Saya kira ini pencapaian terbaik Pakatan Harapan. Sebelum ini, (pembangkang) tidak pernah mencapai kesepakatan sejitu ini.

“Saya rasa di bawah kepimpinan Pengerusi Pakatan Harapan, Tun Dr Mahathir telah membawa kepada satu peringkat yang boleh memberikan keyakinan kepada pengundi,” dipetik daripada Analisis Awani di saluran 501 Astro Awani semalam.

Beliau berkata, hasil tinjauan lapangannya selepas Konvensyen Pakatan Harapan pada 7 Januari lalu mendapati wujud gelombang isyarat yang positif daripada rata-rata pengundi.

“Walaupun ada yang agak skeptikal apabila Pakatan Harapan menamakan individu yang sudah pun meninggalkan kerajaan tapi semua itu tidak menjadi persoalan besar kepada pengundi yang kami temui.

“Yang jadi persoalan sekarang, rakyat mahu melihat bagaimana tawaran penyelesaian kepada masalah yang mereka hadapi,” ujarnya.

Menurut Hisomuddin, wujud perbezaan pola kecenderungan undi antara segmen pemilih di bandar dan luar bandar yang berkaitan dengan faktor ekonomi dan pendidikan.

“Pengundi bandar dan berpendidikan tinggi serta penjawat awam memerlukan perubahan kerajaan yang lancar. Mereka tidak mahu masih lagi berebut jawatan dengan keadaan ekonomi negara yang tidak stabil.

“Bagi penduduk di luar bandar perkiraan tersebut tidak begitu. Mereka hanya memerlukan polisi alternatif dan manifesto yang memberikan harapan kepada mereka yang rata-rata merungut tentang kenaikan harga barang” akibat kenaikan harga petrol dan diesel.

“Mereka tahu kesan GST (cukai barang dan perkhidmatan). Mereka tertekan dengan keadaan sebegini. Mereka mahu penyelesaian dan jalan keluar daripada masalah itu.

“Mereka mahu melihat tawaran yang boleh diyakini membawa mereka keluar daripada masalah mereka. Itu perkiraan yang saya temui di lapangan,” jelasnya lagi ketika ditanya perantara program bual bicara itu, Nazri Kahar.