Malaysia Dateline

Agihan kerusi PH di Johor seimbang, kata AMANAH

Setiausaha Organisasi Parti AMANAH Negara, Suhaizan Kaiat berkata, agihan kerusi dalam kalangan Pakatan Harapan (PH) negeri Johor bagi kerusi Dun untuk ditandingi pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) nanti adalah seimbang.

Namun katanya, terdapat usaha mengelirukan rakyat dengan menyatakan AMANAH Johor telah dipinggirkan dalam pengagihan kerusi di Negeri Johor setelah dimuktamadkan pada 18 Januari 2018 dalam Retreat PH Johor.

Kedudukan kerusi di Johor adalah 18 Bersatu, 14 DAP, 12 AMANAH, 12 PKR. Bersatu sememangnya lebih kerusi daripada parti-parti lain di Johor kerana itulah persetujuan keempat-empat parti yang telah meletakkan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Pengerusi Pakatan Harapan Johor, katanya dalam satu kenyataan disiarkan dalam Facebook beliau semalam.

Suhaizan Kaiat

“Tidak mungkin berlakunya Bersatu lebih rendah kerusinya daripada parti-parti yang lain.

“Kerusi Dun yang ditinggalkan oleh Pas kebanyakannya diagihkan pada AMANAH dan Bersatu. Bersatu yang mempunyai kekuatan menembusi kawasan-kawasan luar bandar seperti Felda dan kampung tradisi diberi tanggungjawab mendepani kawasan sukar seperti Dun Kahang dan Dun Panti.

“Untuk berlaku adil Bersatu juga diberi kawasan campuran tetapi pada jumlah yang sangat minimum seperti Dun Puteri Wangsa dan Dun Bukit Permai.

“Terdapat lebih 30% kerusi Dun sukar menang di Negeri Johor. Dengan kekuatan jentera, Bersatu yakin boleh menang sebahagian daripada kawasan sukar ini. Maka hasilnya Bersatu mendapat kerusi yang lebih berbanding parti-parti lain,” kata Naib Pengerusi AMANAH Johor itu.

AMANAH pula katanya, diberi tanggungjawab memberi fokus di kerusi campuran dan tidak memfokus kerusi sukar menang.

Jelas beliau lagi, berdasarkan kekuatan yang ada pada AMANAH, kerusi campuran adalah lebih mudah dimenangi berbanding kerusi luar bandar.

Walau bagaimanapun katanya, kerusi campuran ini telah dikongsi bersama dengan rakan-rakan PKR dan DAP. Maka bilangannya sangat terhad.

“AMANAH diberi lebih kerusi Dun mudah menang seperti Sungai Abong, Parit Yaani dan Nusajaya. Kerusi yang diperolehi AMANAH memang jumlahnya sedikit iaitu 12 kerusi tetapi lebih 80% mudah menang.

“Jumlah ini sudah cukup membuatkan petugas AMANAH seluruh Negeri Johor tidak cukup tidur malam sebelum PRU14. AMANAH fokus kepada kualiti, Bersatu fokus kepada kuantiti. Itulah konsep yang kita gunakan untuk menuju Nusajaya.

“PKR dan DAP juga telah menerima jumlah kerusi yang sama seperti dalam PRU13. Walaupun mereka sebenarnya memiliki kekuatan bertanding di kawasan campuran lain tetapi atas rasa hormat dalam Pakatan Harapan mereka sedia kekal dengan bilangan kerusi seperti PRU13 yang lalu.

“Mereka akan sama-sama berusaha untuk mempastikan kerusi masing-masing menang dalam PRU14. Saya sangat berbangga dengan muafakat semua pimpinan dalam PH Johor,” tambahnya.

Menurut Suhaizan, beliau telah diberi tanggunjawab oleh AMANAH untuk aktif di Dun Puteri Wangsa lebih setahun yang lalu.

“Telah banyak antiviti yang dilaksanakan. Telah ramai pengundi disantuni. Organisasi telah dibina. Dana pula telah dikumpul. Tetapi atas rasa ingin menang bersama menuju Nusajaya dan rasa hormat saya kepada rakan-rakan dalam Pakatan Harapan saya tiada masalah Dun Puteri Wangsa ditandingi Bersatu.

“Yang lebih penting adalah PH Johor dapat diperkukuh untuk diterima rakyat bagi mengalahkan BN dalam PRU14. Jom Sokong Pakatan Harapan!” kata beliau.