
Agihan kerusi: Taklimat akan didengar Pas pada Isnin depan
Perkara ini dimaklumkan Ketua Penerangan Pas Nasrudin Hassan Tantawi ketika diminta mengulas kenyataan Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Rabu, parti itu akan meneruskan rundingan dengan Pas mengenai pembahagian kerusi.
Nasrudin menjelaskan, Mesyuarat Pas Pusat akan diadakan pada Isnin depan bagi mendengar taklimat yang akan dibawa oleh Jawatankuasa Perundingan Pas-Bersatu yang mana Pas diketuai Timbalan Presiden Pas itu.
“Saya tidak dapat apa-apa maklumat lagi sehinggalah pada hari Isnin depan.Pasukan itu yang diketuai Tuan Ibrahim sebagai pengerusinya.
“Sebab kita tidak pasti berapa kali pertemuan yang telah dibuat oleh mereka, nanti mereka akan bagi taklimat dalam mesyuarat Pas Pusat,” ujarnya ketika ditemui media selepas menjadi panelis jemputan dalam Slot Bicara Harakah semalam.
Bagaimanapun ketika ditanya, siapa yang akan mewakili Pas dalam pertemuan dengan Bersatu sekiranya Pas setuju rundingan pembahagian kerusi itu berlangsung kelak.
Nasruddin berkata,”jika ada persetujuan (meneruskan rundingan) siapa yang akan bersama, itu kita tidak boleh buat lagi andaian.
“Mereka hanya pasukan yang buat rundingan tetapi yang akan membuat keputusan adalah Pas Pusat,” terangnya.
Jawatankuasa Perunding Pas- Bersatu itu diwakili Tuan Ibrahim manakala Timbalan Presiden Bersatu Datuk Seri Mukhriz Mahathir.
Bagaimanapun Menteri Besar Kelantan yang juga Timbalan Mursyidul Am Pas, Datuk Ahmad Yakob dalam mengulas perkara sama, menafikan dakwaan parti itu bersetuju berunding pengagihan kerusi pilihan raya umum dengan Bersatu.
Beliau berkata, pihaknya tidak menerima sebarang maklumat atau arahan pun mengenai perkara itu.
Dalam masa yang sama beliau menegaskan keputusan untuk mengagihkan kerusi adalah hak mutlak Pesuruhjaya Pas Negeri.