Agihan kerusi untuk AMANAH usah semua ‘gred B’

Agihan kerusi untuk AMANAH usah semua ‘gred B’

Perwakilan AMANAH Pahang, Syed Hamid Syed Mohamed berharap rundingan berkaitan agihan kerusi bertanding bagi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) menghasilkan keputusan munasabah.

Menurutnya, pimpinan AMANAH Nasional perlu mempertahankan kawasan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (Dun) yang berpotensi untuk menang.

“Mana kerusi yang bertindih diselesaikan. Kerusi biar munasabah. Kalau kerusi gred B belaka, susahlah.

“Kita harapkan kepimpinan nasional mempertahankan kerusi yang strategik.

“Jangan (kerusi) yang tak baik (sukar menang) bagi kita,” tegas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kuala Semantan itu.

Menganggap kedudukan Umno-BN yang lemah, Syed Hamid menyifatkan hal ini terpulang pada kebijaksanaan AMANAH mengambil peluang.

“Kita kena kuatkan penyatuan, kurangkan persengketaan, jangan perkara kecil dibesar-besarkan.

“Umno-BN lemah dengan pelbagai isu. Terpulang pada sejauh mana AMANAH bijak mengambil peluang,” ujar satu-satunya wakil rakyat Pas yang mengisytiharkan diri menyertai AMANAH.

Menurut Syed Abdul Hamid, AMANAH diakui sebagai pelopor PH dan ini dinyatakan oleh presiden Keadilan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dalam ucapannya semalam.

Beliau memuji kepimpinan AMANAH kerana menunjukkan sikap keterbukaan dengan memberi peluang kepada wakil-wakil parti sahabat berucap pada majlis perasmian konvensyen semalam.

Pengerusi PPBM yang juga Pengerusi PH Tun Dr Mahathir Mohamad dan Dr Wan Azizah yang juga Presiden PH diberi penghormatan berucap pada majlis itu.

Syed Hamid juga mahu pemimpin nasional memikirkan kaedah terbaik untuk mengumpulkan dana pilihan raya.

Walaupun AMANAH ‘parti miskin’ ia mampu untuk bertanding dalam pilihan raya negeri (PRN) Sarawak dan dua pilihan raya kecil (PRK) di Sungai Besar dan Kuala Kangsar.

Dengan kebolehan pemimpin nasional, beliau yakin parti mampu untuk mengumpulkan dana bagi PRU.

Syed Hamid juga menyarankan aktivis parti agar bukan sahaja bekerja keras tetapi juga secara bijak khususnya apabila pertandingan tiga penjuru dalam PRU akan datang tidak dapat dielak.

Oleh itu beliau menasihati bakal-bakal calon supaya mengenal pasti orang-orang berpengaruh dalam masyarakat bagi memudahkan usaha kempen dan mendekati masyarakat.

8.0
OVERALL SCORE
: 8.0
Have no any user vote
CATEGORIES
TAGS