Agong anugerah ‘Datuk’ kepada heroin Jabatan Audit, Nor Salwani
Nor Salwani (dua dari kanan) berbaris keluar selepas menerima anugerah bergelar 'Datuk' dari Yang Dipertuan Agong.

Agong anugerah ‘Datuk’ kepada heroin Jabatan Audit, Nor Salwani

Pegawai Jabatan Audit Negara, Nor Salwani Muhammad yang menyimpan rekod mesyuarat yang dikaitkan dengan dakwaan meminda Laporan Pengauditan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) pada 24 Feb 2016 hari ini menerima gelaran ‘Datuk’.

Pengarah Audit (Sektor Tadbir Urus) Jabatan Audit Negara, itu adalah antara 25 yang menerima anugerah Panglima Mahkota Wilayah (P.M.W) dari Yang Dipertuan Agong sempena sambutan Hari Wilayah Persekutuan.

Turut menerima anugerah yang sama adalah rakan beliau, Datuk Johari Ismail, bekas Ketua Muslimat Pas, Jamilah Ibrahim dan seniman Dinsman atau nama sebenarnya Samsudin Che Osman.

Nor Salwani dianggap wira apabila berani menjadi saksi bagi membuktikan bekas perdana menteri mengarahkan agar pindaan dibuat ke atas laporan audit 1MDB.

Salwani memberitahu Mahkamah Tinggi bahawa beliau telah memasukkan perakam suara ke dalam bekas pensel milik pegawai atasannya, Saadatul Nafisah Bashir Ahmad, wakil Jabatan Audit Negara tanpa pengetahuan Saadatul Nafisah sebelum mesyuarat bermula.

Saksi pendakwaan itu berkata, beliau berbuat demikian sebagai persediaan untuk membuat minit mesyuarat penyelarasan laporan audit 1MDB berkenaan kerana beliau tidak dibenarkan berada dalam bilik mesyuarat.

Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Seri Mohd Zawawi Salleh mengetuai majlis menerima anugerah yang disampaikan Yang Dipertuan Agong di Istana Melawati, Putrajaya hari ini.

Ia turut disaksikan oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan isteri, TPM Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail dan Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abd Samad.