Malaysia Dateline

Agong belum peroleh keyakinan sokongan majoriti untuk bentuk kerajaan

 

Istana Negara sebentar tadi memaklumkan, Yang di-Pertuan Agong masih belum memperoleh keyakinan seorang Ahli Parlimen yang mendapat kepercayaan majoriti di Dewan Rakyat bagi membentuk kerajaan baharu.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, keyakinan itu masih belum diperolehi berdasarkan proses temu bual antara Baginda dan ahli-ahli Parlimen yang berlangsung pada Selasa dan Rabu baru-baru ini.

“Pihak Istana Negara akan berhubung dengan ketua-ketua pemimpin parti politik yang mempunyai wakil dalam Dewan Rakyat bagi memberi peluang kepada mereka untuk mengemukakan pencalonan nama Ahli Parlimen sebagai bakal Perdana Menteri,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Hari ini, Malaysia Dateline melaporkan Yang di-Pertua Dewan Rakyat telah menerima surat Pemakluman Memanggil Mesyuarat Khas Dewan Rakyat yang ditandatangani Perdana Menteri Interim, memaklumkan bahawa pihak kerajaan telah bersetuju supaya Dewan Rakyat dipanggil bermesyuarat pada hari Isnin 2 Mac 2020.

Namun demikian, menurut Tan Sri Datuk Mohamad Ariff Md Yusof, beliau mendapati surat berkenaan tidak menepati Peraturan Mesyuarat 11(3) oleh kerana tidak disusuli dengan pemberitahuan usul yang lengkap.

Mengikut peraturan mesyuarat 11(3) pemberitahuan tarikh mesyuarat akan dikeluarkan oleh beliau selaku Yang di-Pertua Dewan Rakyat, setakat ini tiada notis dikeluarkan.

Di samping itu beliau juga berpandangan bahawa, keperluan untuk mengadakan Mesyuarat Khas Dewan Rakyat akan dibuat selepas mendapat pemakluman titah rasmi daripada Yang di-Pertuan Agong berhubung dengan proses pemilihan Perdana Menteri.