Agong berkenan memandu sendiri ke restoran, minum petang bersama Anwar Ibrahim

Oleh WAN SITI AMINAH

Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan meluangkan masa bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, semalam.

Seri Paduka Baginda difahamkan memandu sendiri kereta bersama bersama Anwar dari Istana Negara ke sebuah restoran di ibu kota untuk santapan minum petang.

Terdahulu, Seri Paduka menerima mengadap Perdana Menteri di Istana Negara untuk sesi menyembah maklum berhubung urusan kertas-kertas Kabinet pada 13 Februari.

Mengundang perhatian ramai, perkara tersebut dikongsikan menerusi satu hantaran tular yang telah dimuat naik di platform Facebook rasmi milik Seri Paduka Baginda.

“Seri Paduka Baginda memandu sendiri bersama YAB (Yang Amat Berhormat) Datuk Seri Anwar dari Istana Negara ke Restoran Paul di Pavilion Kuala Lumpur.

“Sebelum berangkat pulang, Seri Paduka Baginda bersama Datuk Seri Anwar turut meluangkan masa menyaksikan persembahan tarian singa,” tulis hantaran tersebut.

Tinjauan di ruangan komen mendapati rata-rata pengguna memberikan pujian dan meluahkan kekaguman mereka di atas keakraban dua pemimpin utama negara itu.

Ramai juga berharap kerjasama dua pemimpin itu dapat melancarkan pentadbiran kerajaan dan juga memastikan kestabilan politik sambil membina semula negara.

“Subhanallah. Semoga dengan keakraban Tuanku dan PMX dapat memudahkan lagi pentadbiran kerajaan perpaduan ini. Daulat Tuanku,” kongsi seorang pengguna.

“Daulat Tuanku. Diharapkan kedua-dua ketua dan pemimpin negara berjaya menangani pelbagai rintangan dari segi ekonomi, masalah rakyat dan kestabilan politik.” Kata pengguna lain.

Baca juga: Ambil iktibar kes Nik Elin, Terengganu teliti undang-undang syariah negeri agar tak bercanggah Perlembagaan