Malaysia Dateline

Agong boleh panggil sidang Parlimen tanpa nasihat PM

1. Saya merujuk kepada Kenyataan Media Istana Negara bertarikh 24.2.2021 yang antara lainnya menyatakan bahawa Yang Di Pertuan Agong (YDPA) telah menzahirkan pandangan bahawa Parlimen boleh bersidang semasa tempoh Darurat berkuatkuasa pada suatu tarikh yang difikirkan sesuai oleh Seri Paduka Baginda di atas nasihat Perdana Menteri.

2. Perkara 55 (1) Perlembagaan Persekutuan memberikan kuasa kepada Seri Paduka Baginda untuk memanggil persidangan Parlimen. Seksyen 14 (1) (a) Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 pula menyatakan bahawa Perkara 55 (1) Perlembagaan Persekutuan adalah tidak terpakai semasa tempoh Darurat berkuatkuasa.

3. Namun, Seksyen 14 (1) (b) Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 menyatakan bahawa Parlimen hendaklah dipanggil, diprorog dan dibubarkan pada suatu tarikh sebagaimana yang difikirkan sesuai oleh YDPA. Peruntukan ini tidak menyatakan bahawa dalam melaksanakan perkara tersebut, YDPA mesti bertindak di atas nasihat Perdana Menteri.

4. Saya berpandangan bahawa YDPA dengan sendirinya boleh memanggil persidangan Parlimen dalam tempoh Darurat ini tanpa perlu bertindak di atas nasihat Perdana Menteri. Seksyen 14 (1) (b) Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 tidak memperuntukan bahawa YDPA mesti bertindak di atas nasihat Perdana Menteri sebelum Seri Paduka Baginda boleh memanggil persidangan Parlimen.

5. Jika sekalipun YDPA mesti bertindak di atas nasihat Perdana Menteri, ianya adalah sesuatu yang tidak berperlembagaan untuk dilakukan. Ini kerana, pada pendapat saya, Perdana Menteri pada ketika ini adalah seorang Perdana Menteri yang telah hilang sokongan majoriti Ahli-Ahli Dewan Rakyat untuk terus kekal sebagai Perdana Menteri. Dengan kata lain, negara pada ketika ini tidak mempunyai Perdana Menteri yang sah dari sudut perlembagaan (constitutionally valid Prime Minister) untuk menasihati YDPA.

6. Selain itu, saya berpendapat keadaan politik semasa semenjak Darurat diisytiharkan juga adalah amat penting untuk dijadikan kayu pengukur oleh Seri Paduka Baginda. Ini lebih-lebih lagi apabila jelas beberapa Ahli Parlimen yang berada di blok Kerajaan turut mempersoal keperluan Darurat itu sendiri.

7. Kenyataan oleh Yang Berhomat Dato’ Sri Azalina Othman Said yakni Ahli Parlimen Pengerang dan Timbalan Yang Di Pertua Dewan Rakyat juga boleh dilabelkan sebagai mempersoal kedudukan Perdana Menteri. Ini adalah kerana jelas Parlimen boleh bersidang walaupun dalam tempoh Darurat berkuatkuasa.

8. Pendek kata, Seri Paduka Baginda boleh pada bila-bila masa memanggil persidangan Parlimen tertakluk kepada Peraturan-Peraturan Mesyurat Dewan Rakyat dan perkara utama yang perlu dilakukan adalah untuk menguji keabsahan sokongan kepada Perdana Menteri.

9. Adalah mustahil untuk seorang Perdana Menteri yang telah hilang sokongan majoriti Ahli-Ahli Dewan Rakyat untuk menasihati pula YDPA bagi memanggil persidangan Parlimen. Jika perkara ini dibenarkan berlaku, maka ianya akan memberikan suatu ikutan yang tidak baik (a bad precedent) di masa hadapan di samping bertentangan dengan keluhuran perlembagaan, kedaulatan undangundang serta amalan demokrasi berparlimen.

———————-
Penulis adalah Peguambela dan Peguamcara yang tinggal di Shah Alam.