Yang di-Pertuan Agong boleh menarik balik darurat jika ada bukti bahawa kerajaan yang menasihatkan baginda sekarang tidak mempunyai majoriti yang cukup.
Jika perkara itu gagal dibuktikan, Yang di-Pertuan Agong tidak boleh menolak nasihat Perdana Menteri untuk isytiharkan darurat, kata peguam yang juga Ahli Parlimen Sungai Buloh, Sivarasa Rasiah.
“Ini adalah pandangan saya dan juga pandangan ramai para peguam,” kata Sivarasa dalam sidang media yang dianjurkan oleh Jawatankuasa Rayuan Penamatan Proklamasi Darurat yang sedang berjalan sekarang.
Selain Sivarasa, turut menjadi panel sidang media ini adalah Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof, bekas Speaker Dewan Rakyat dan Mohamad Rafique, Peguam Pejuang. Moderator sidang media ini adalah Khalid Samad, Pengerusi Jawatankuasa Tamat Darurat.
Kerajaan tidak mempunyai sokongan majoriti yang cukup juga perlu dibuktikan kepada baginda dengan jelas bukan melalui sidang media atau pengumuman biasa sahaja.
“Bagi saya ada dua cara sekarang untuk membuktikan kerajaan yang ada tidak mempunyai majoriti.
“Pertama jika Presiden Umno bersama ahli-ahli Parlimen mereka menghadap Agong dan memaklumkan mereka menarik balik sokongan kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri.
“Kedua ketua-ketua parti pembangkang menghadap Agong dan membawa cukup bilangan Ahli Parlimen bahawa mereka ada sokongan majoriti dalam Dewan Rakyat,” kata Sivarasa yang merupakan Naib Presiden PKR itu.
Perkara ini perlu dilakukan dengan bukti yang jelas kepada Agong bukan cakap-cakap belakang atau laporan media sahaja, katanya.
Ini kerana, kata beliau, Agong ada kuasa budi bicara dalam tiga perkara sahaja iaitu melantik perdana menteri, menerima atau menolak permohonan pembubaran Parlimen dan isu berkaitan kedudukan raja-raja.