Agong buat kejutan, ajak graduan UITM nyanyi lagu ulang tahun untuk Tunku Azizah

Oleh WAN SITI AMINAH

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah telah mencipta satu kejutan ketika menghadiri Istiadat Konvokesyen UiTM ke-97.

Seri Paduka Baginda berkenan menzahirkan ucapan sempena Hari Keputeraan ke-63 Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Mengharukan, Seri Paduka Baginda turut berkenan menyanyikan lagu ulang tahun buat Raja Permaisuri Agong bersama para graduan dan hadirin.

Tular di media sosial, rakaman yang memaparkan istiadat konvokesyen itu telah dikongsi oleh Astro Awani menerusi satu hantaran di laman Twitter.

“Saya hendak keluarkan sedikit rahsia, hari ini adalah hari ulang tahun isteri tersayang saya, baru sweet 63.

“Kita sama-sama ucapkan selamat ulang tahun kepada Tuanku Permaisuri, ada yang nak nyanyi?” Titah baginda.

Tunku Azizah kemudian berkenan untuk bangun dan melambaikan tangan kepada hadirin sebagai tanda terima kasih atas nyanyian itu.

Sejurus nyanyian diselesaikan, Seri Paduka Baginda turut menitahkan agar para graduan dan hadirin untuk mendoakan kesejahteraan Tunku Azizah.

“Kita doakan Raja Permaisuri Agong kekal keimanan dan kekal kecantikan, dan kekal taat pada suami, sentiasa masak untuk suami, berdakwah kepada suami.

Permaisuri suka cakap pasal agama kepada saya, saya kena dengar sahajalah,” titah baginda lagi.

‘Kejutan’ itu dibuat sebelum baginda mengakhiri titah pada istiadat konvokesyen yang diadakan di Dewan Agung Tuanku Canselor, semalam.

Tinjauan di ruangan komen mendapati rata-rata pengguna mengaku terharu dengan kejutan tersebut dan sempat memuji hubungan romantis kedua kerabat diraja itu.

“Masya-Allah. Sweet betul YDPA (Yang di-Pertuan Agong). Semoga Allah SWT sentiasa melimpahkan rahmat ke atas Tuanku, keluarga dan kerajaan,” kata seorang pengguna.

“Suka betul aku tengok (rakaman istiadat). Seri Paduka Baginda berdua kalau berjalan pun mesti berpimpin tangan,” kongsi pengguna lain.

Baca juga: Dihuni wanita cantik bak bidadari, ini rahsia tersembunyi Lembah Hunza di Pakistan