Malaysia Dateline

Agong dapati tiada keperluan isytihar darurat, ingatkan henti berpolitik

Hasil perbincangan dalam mesyuarat khas Raja-Raja Melayu di Istana Negara hari ini, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah bertitah, tiada keperluan untuk mengisytiharkan darurat buat masa ini.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin dalam satu kenyataan sebentar tadi, berkata Al-Sultan Abdullah merasakan kerajaan sekarang berjaya menangani wabak Covid-19 dengan baik dan berkesan.

“Seri Paduka Baginda amat mempercayai keupayaan kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri untuk terus melaksanakan dasar dan tindakan penguatkuasaan bagi membendung gejala wabak Covid-19 ini dari terus merebak.

“Al-Sultan Abdullah berpendapat tiada keperluan buat masa ini untuk Seri Paduka Baginda mengisytiharkan darurat di negara ini atau mana-mana bahagian negara Malaysia,” katanya.

Terdahulu, Agong telah berkenan memperhalusi permohonan yang telah dipersembahkan oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin di majlis menghadap di Istana Abdul Aziz, Kuantan, Pahang, kelmarin.

“Permohonan tersebut ialah pelaksanaan Darurat Perkara 150(1) dan Pemasyhuran Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu 2020) menurut Perkara 150(2B) Perlembagaan Persekutuan untuk memerangi ancaman wabak Covid-19 di negara ini,” dipetik dari kenyataan itu lagi.

Dalam masa sama, Agong yang merupakan Ketua Utama Negara Malaysia mengingatkan ahli-ahli politik untuk memberhentikan segera segala politicking yang boleh menggangu kestabilan pemerintahan negara.

“Al-Sultan Abdullah turut berpendapat bahawa tiada perlunya Ahli-ahli Parlimen meneruskan tindakan tidak bertanggungjawab yang boleh mengganggu gugat kestabilan Kerajaan sedia ada.

“Seri Paduka Baginda menegaskan bahawa Belanjawan Negara 2021 yang akan dibentangkan di sidang Parlimen adalah amat penting kepada rakyat di dalam menangani wabak Covid-19 dan memulihkan ekonomi negara,” kata Datuk Indera Ahmad Fadil lagi.