Malaysia Dateline

Agong dicadang arah Parlimen buat sidang khas lawan Covid-19

Para ahli parlimen DAP akan menyokong penuh jika Yang Dipertuan Agong mengarahkan agar satu sidang khas Parlimen diadakan bagi membincangkan wabak Covid-19 yang kini sedang menggila.

Veteran Parlimen DAP, Lim Kit Siang (gambar) berkata, wabak Covid-19 yang sangat teruk di negara ini sekarang memerlukan Parlimen mengadakan sidang khas bagi membincangkannya.

“Saya akan menyokong sepenuh diadakan sidang khas Parlimen bagi membincangkan wabak Covid-19.

“Sidang ini perlu diadakan selaras dengan Sektinon 14 (1) (b) Ordinan Darirat yang dibuat diumumkan pada 14 Janurai 2021 yang menyebut, “Parlimen boleh dipanggil, ditangguhkan atau dibubarkan bila-bila masa yang difikirkan sesuai oleh Yang Dipertuan Agong.”

“Biarlah Parlimen menjadi contoh untuk seluruh rakyat Malaysia, tanpa mengira kaum, agama dan kawasan untuk bersatu demi menyelamatkan Malaysia dari wabak Covid-19,” kata beliau.

Malaysia terus menyaksikan angka harian tinggi bagi jangkitan baharu Covid-19 apabila 3,306 kes dilaporkan, semalam.

Pertambahan tersebut menjadikan jumlah kumulatif mencecah 161,740 jangkitan, dengan 38,791 kes aktif.

Jangkitan baharu hari ini membabitkan 3,299 penularan tempatan dan tujuh kes import.

Malaysia kini adalah antara negara yang berprestasi buruk dalam mengendalikan wabak ini.

Kedudukan negara melonjak 22 anak tangga dalam carta negara dengan jumlah kes terkumpul tertinggi, daripada kedudukan ke-83 pada 1 Disember 2020 kepada kedudukan ke-61.

Ia adalah lonjakan yang lebih teruk berbanding berbanding Amerika Syarikat, Brazil, UK, Perancis, Turki, Itali dan Sepanyol, kata Kit Siang.

Pada 1 Disember, Malaysia berada di tempat ke-83 dari segi jumlah kes tertinggi di dunia, dengan 65,697 kes, tetapi keadaan di negara telah bertambah teruk dengan Malaysia kini berada di tempat ke-61 dengan 161,740 kes dan 605 kematian.

“Besar kemungkinan kita akan ke tempat ke-60 menjelang hari ini atau esok, dan ke tempat ke-59 dalam masa dua ke tiga hari,” katanya.

Sejak daripada 1 Disember sehingga hari ini, jumlah kes terkumpul di seluruh dunia meningkat daripada 65 juta kes kepada 96 juta kes, peningkatan 1.48 kali ganda.

“tetapi kes di Malaysia meningkat daripada 65,697 kes kepada 161,740 kes, peningkatan 2.46 kali ganda — kadar peningkatan terburuk dalam kalangan 100 negara dengan jumlah kes tertinggi di dunia,” katanya.