Malaysia Dateline

Agong dukacita Ordinan Darurat dibatal tanpa perkenan, Takiyuddin telah kelirukan Dewan

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan rasa amat dukacita dengan tindakan kerajaan yang secara tiba-tiba membatalkan Ordinan Darurat yang dimasyurkan baginda, walhal pembatalan belum lagi diperkenan.

Menerusi kenyataan dari Istana Negara, Al Sultan bertitah bahawa kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan pada 26 Julai lalu adalah tidak tepat dan mengelirukan Dewan.

Baginda turut menegaskan bahawa permohonan pembatalan semua Ordinan Darurat berkuat kuasa pada 21 Julai yang telah dilakukan secara tergesa-gesa tanpa pembentangan di Parlimen, sebagai gagal menghormati prinsip kedaulatan undang-undang.

“Kenyataan bercanggah serta mengelirukan di Parlimen bukan sahaja gagal menghormati prinsip kedaulatan undang-undang yang terkandung dalam Rukun Negara.

“Malah telah membelakangi fungsi dan kuasa Seri Paduka Baginda selaku Ketua Utama Negara seperti yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan,” tegas Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin.

Agong turut menzahirkan rasa amat dukacita kerana apa yang telah diperkenankan dan dipersetujui terdahulu dengan Takiyuddin dan Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun, semasa majlis menghadap secara maya pada 24 Julai lalu, telah tidak dilaksanakan iaitu berkaitan cadangan pembatalan semua Ordinan Darurat untuk dibentang dan dibahaskan di Parlimen.

Istana juga memaklumkan, Agong sedia maklum akan perlunya baginda bertindak mengikut nasihat Jemaah Menteri seperti terkandung dalam Perkara 40(1) Perlembagaan Persekutuan.

Namun, baginda menzahirkan pandangan bahawa selaku Ketua Utama Negara, mempunyai kewajipan untuk menyampaikan nasihat dan teguran jika berlaku sebarang tindakan yang tidak berperlembagaan oleh mana-mana pihak, khususnya mereka yang melaksanakan fungsi dan kuasa Yang di-Pertuan Agong.

“Seri Paduka Baginda menegaskan bahawa Ahli-ahli Parlimen supaya memberikan keutamaan kepada kemaslahatan dan kesejahteraan rakyat serta negara pada sesi sidang Parlimen yang kini sedang berlangsung untuk mencari penyelesaian terhadap pelbagai masalah yang dihadapi rakyat dan negara ketika krisis pandemik Covid-19 ini,” katanya.