Malaysia Dateline

Agong harapan terakhir rakyat Malaysia

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah adalah harapan terakhir rakyat Malaysia untuk melihat darurat ditamatkan selepas ianya diisytiharkan sejak Januari lalu.

Pengarah Komunikasi AMANAH Nasional, Khalid Samad berkata, nasihat Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sudah tidak lagi relevan kerana beliau tidak mempunyai majoriti sokongan Ahli Dewan Rakyat.

Khalid berpendapat, dengan semangat berperlembagaan, Agong boleh mengarahkan Muhyiddin untuk membuktikan sokongannya agar Ahli Parlimen Pagoh itu boleh dianggap layak memegang kedudukan sebagai perdana menteri.

“Agong harapan kita yang terakhir kerana bila berlakunya salah guna kuasa seperti yang dilakukan perdana menteri sekarang ini, maka Agong sahaja yang boleh betulkan.

“Kerana yang lain semua dah tak dapat ruang. Tak ada  saluran untuk bersuara menuntut Mahiaddin buktikan bahawa dia masih lagi perdana menteri yang sah.

“Rakyat bersama Agong sekiranya Agong mengambil tindakan berani membetulkan suasana songsang yang dihasilkan Mahiaddin dan kumpulan Perikatan Nasional (PN)-Barisan Nasional (BN),” katanya dalam satu siaran langsung di Jom Channel semalam

Terdahulu, Jawatankuasa Penamatan Proklamasi Darurat yang dipengerusikan Khalid, hadir buat kali kedua ke Istana Negara bagi menyerahkan surat permohonan menghadap Agong agar darurat dapat ditamatkan segera.

Penyerahan surat itu merupakan kali kedua selepas permohonannya pada 26 Mac lalu masih belum mendapat maklum balas pihak istana.

Ketika ini, laman web tamatdarurat.com memperoleh hampir 40,000 tandatangan yang membantah pengisytiharan darurat sehingga menggantung fungsi Parlimen.

Beberapa hari lalu, media sosial tular dengan ketidakpuasan hati rakyat yang memulakan tanda pagar #KerajaanGagal ekoran tindakan kerajaan yang tidak berjaya membendung penularan wabak Covid-19, selain tindakan melaksanakan darurat yang dianggap tidak perlu.

Tanda pagar itu mendapat lebih dari 130,000 ciapan rakyat Malaysia yang kemudiannya dikatakan ada usaha dari pihak jabatan propaganda kerajaan memadam tanda pagar berkenaan sehingga hilang dari ‘trending’ utama.