Malaysia Dateline

Agong kurnia surat cara pelantikan kepada 21 hakim

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini berkenan menerima menghadap dan mengurniakan surat cara pelantikan kepada 21 hakim di Istana Negara di sini. 

Turut berangkat pada istiadat di Singgahsana Kecil Istana Negara itu ialah Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Istiadat dimulakan dengan pengurniaan surat cara pelantikan kepada Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim yang mengetuai senarai penerima hari ini.

Ia diikuti Hakim Besar Malaya Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah, Hakim Besar Sabah dan Sarawak Datuk Abdul Rahman Sebli dan Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Nordin Hassan. 

Seri Paduka turut berkenan mengurniakan surat cara kepada enam Hakim Mahkamah Rayuan iaitu Datuk Azman Abdullah, Datuk Azimah Omar, Datuk Lim Chong Fong, Datuk Collin Lawrence Sequerah, Mohamed Zaini Mazlan dan Datuk Wong Kian Kheong.

Selain itu, 11 Hakim Mahkamah Tinggi ialah Datuk Norsharidah Awang, Tee Geok Hock, Datuk Zaleha Rose Pandin, Alice Loke Yee Ching, Datuk Azhar Abdul Hamid, Dr Arik Sanusi Yeop Johari, G. Bhupindar Singh, Mahazan Mat Taib, Ahmad Murad Abdul Aziz, Liza Chan Sow Keng dan Wan Muhammad Amin Wan Yahya. 

Turut hadir menyaksikan istiadat berkenaan ialah Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said dan Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat. 

— BERNAMA

Baca juga : Jururawat diminta bayar RM80 untuk majlis makan malam dengan Pengarah Hospital?