Malaysia Dateline

Agong kurnia watikah pelantikan perwakilan Malaysia ke luar negara

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini berkenan mengurniakan watikah pelantikan kepada tiga perwakilan Malaysia ke luar negara, di Istana Negara di sini.

Mereka ialah Datuk Mohamad Sadik Kethergany yang akan bertugas di United Kingdom; Zainal Abidin Bakar (Indonesia); dan Westmoreland Edward Palon (Holy See).

Mohamad Sadik yang memulakan khidmat sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) di Kementerian Luar pada 1989 sebelum ini pernah bertugas sebagai konsul jeneral di Konsulat Jeneral Malaysia di New York, Amerika Syarikat selama empat tahun dari 2004.

Beliau juga pernah berkhidmat sebagai Duta Besar Malaysia ke Republik Islam Iran pada 2009 dan Duta Besar Malaysia ke Hungary pada 2014.

Zainal Abidin pula yang memulakan perkhidmatan sebagai pegawai PTD di Kementerian Luar Negeri pada 1989 sebelum ini pernah dilantik sebagai Duta Besar Malaysia ke Republik Czech pada 2009 dan Duta Malaysia ke Sepanyol pada 2017.

Dalam pada itu Westmoreland yang memulakan perkhidmatan sebagai pegawai PTD di Kementerian Luar pada 1996, pernah berkhidmat sebagai konsul jeneral di Konsulat Jeneral Malaysia di Melbourne, Australia sejak 2015.

Sementara itu, Seri Paduka turut berkenan menerima watikah pelantikan 12 perwakilan asing ke Malaysia.

Mereka ialah Pesuruhjaya Tinggi New Zealand ke Malaysia Hunter James Nottage; Milan Hupcej (Republik Czech); Francis Ndegwa Muhoro (Republik Kenya); Udaya Raj Pandey (Nepal); Charles Hay (Britain); dan Clifford Borg-Marks (Republik Malta).

Ketua perwakilan asing lain ialah Milton Alcides Magana Herrera (Republik El Salvador); Jurij Rifelj (Republik Slovenia); Normans Penke (Republik Latvia); Mothusi Bruce Rabasha Palai (Republik Botswana); Dziunik Aghajanian (Republik Armenia); dan Agis Loizou (Republik Cyprus).

Selepas istiadat itu Sultan Abdullah berkenan beramah mesra dengan semua perwakilan Malaysia ke luar negara dan perwakilan asing ke negara ini. – BERNAMA