Agong lantik Tun M PM interim
Tun Dr Mahathir menghadap Yang Dipertuan Agong lebih sejam petang ini selepas menghantar surat meletakkan jawatan sebagai PM. Gambar Tun dan Agong sebelum ini.

Agong lantik Tun M PM interim

Tun Dr Mahathir Mohamad telah dilantik sebagai Perdana Menteri Interim (sementara) sehingga seorang Perdana Menteri yang baharu dilantik, kata Ketua Setiausaha Negara, Datuk Mohd Zuki Ali.

“Justeru itu, selaku Perdana Menteri interim, beliau akan menguruskan pentadbiran negara sehingga Perdana Menteri dan ahli kabinet yang baharu dibentuk,” kata beliau dalam satu kenyataannya hari ini.

Zuki memaklum, Seri Paduka Baginda Yang  di-Pertuan Agong XVI Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin telah berkenan menerima peletakan jawatan Tun Dr. Mahathir bin Mohamad sebagai Perdana Menteri Malaysia.

Tun  Mahathir telah menghadap Yang Dipertuan Agong petang tadi selepas menghantar surat meletakkan jawatan pada jam 1 tengahari tadi.

Tun Dr Mahathir dalam masa yang sama juga telah meletakkan jawatan sebagai Pengerusi Bersatu.

SOKONGAN

Sementara itu, AMANAH, DAP dan Warisan menyatakan sokongan penuh kepada Tun Dr Mahathir untuk kekal sebagai Perdana Menteri.

Ini memberikan peluang kepada PH untuk kekal sebagai kerajaan walaupun percubaan dibuat oleh Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan rakan-rakannya untuk menjatuhkan kerajaan melalui pintu belakang.

Menyokong langkah Azmin, Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan partinya keluar daripada PH.

Namun dalam masa yang sama Tun Dr Mahathir mengumumkan perletakan jawatannya sebagai Pengerusi Bersatu.

Sehingga kini Mahathir dan pengikutnya dalam Bersatu belum menentukan ke mana mereka akan pergi selepas ini.