Agong perkenan lantik Anwar Perdana Menteri Ke-10

Oleh KIM SYAZIE

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan melantik Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri Malaysia Ke-10.

Pelantikan Pengerusi Pakatan Harapan itu diperkenan oleh baginda Al Sultan selepas perbincangan khas dan memperhalusi titah Raja-Raja Melayu di Istana Negara, sebentar tadi.

Perkara itu dimaklumkan Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Seri Ahmad Fadil Shamsudin dalam satu kenyataan hari ini.

“Setelah memperhalusi titah pandangan Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu, Seri Paduka Baginda telah memberi perkenan untuk melantik Yang Berhormat Datuk Seri Anwar Ibrahim (Ahli Parlimen Tambun) sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-10.

“Selaras dengan kuasa baginda yang diperuntukkan di bawah Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43 (2)(a) Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Proses seterusnya ialah Istiadat Pengurniaan Suratcara Pelantikan dan Istiadat Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Simpan Rahsia sebagai Perdana Menteri yang dijadualkan berlangsung pada jam 5 petang hari ini di Istana Negara.

Pada masa sama, Ahmad Fadil berkata, Seri Paduka Baginda berpesan kepada Perdana Menteri dan Kerajaan baharu baginda yang bakal dibentuk untuk mengambil resmi padi, semakin berisi semakin tunduk. 

“Hakikatnya, rakyat jelata tidak wajar dibebankan dengan kemelut politik yang tiada kesudahan tatkala negara memerlukan sebuah Kerajaan yang stabil untuk merancakkan lanskap ekonomi dan pembangunan negara,” katanya.