Malaysia Dateline

Agong perkenan Proklamasi Darurat di Sarawak ditamatkan

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini memperkenan untuk menamatkan Proklamasi Darurat di negeri Sarawak.

Pemangku Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Azuan Effendy Zairakithnaini memaklumkan perkara tersebut menerusi surat Istana Negara hari ini.

Beliau berkata, Agong memperkenan penamatan darurat selepas baginda Al Sultan menimbang permohonon Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Abdul Taib Mahmud dan memperhalusi sembah nasihat Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri serta sembah taklimat Peguam Negara dan pandangan ketua-ketua agensi kerajaan.

Menurutnya, perkenan baginda Al Sultan terhadap penamatan Proklamasi Darurat itu selaras dengan Perkara 40 dan 40(1A) Perlembagaan Persekutuan.

“Perlu diperjelaskan di sini bahawa berdasarkan Seksyen 2 Ordinan Darurat (Kuasa- Kuasa Perlu) (Sarawak) 2021, Proklamasi Darurat boleh ditamatkan lebih awal oleh Seri Paduka Baginda setelah berunding dengan Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sarawak.

“Seri Paduka Baginda menzahirkan kegusaran baginda terhadap risiko peningkatan penularan jangkitan Covid-19 sekiranya Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak diadakan.

“Pada hemat Seri Paduka Baginda, negara masih lagi bergelut menghadapi ancaman Covid-19 dan penularan wabak ini juga masih ditahap yang membimbangkan,” katanya.

Bagaimanapun Azuan berkata, Al Sultan memberi perkenan bagi memenuhi keperluan demokrasi dan mengembalikan kuasa kepada rakyat untuk membuat pilihan serta memberi mandat dalam pembentukan kerajaan negeri yang baharu.

Namun katanya, Al Sultan telah bertitah bahawa keselamatan dan kesejahteraan rakyat jelata perlu diberi keutamaan dan sentiasa mengatasi sebarang kepentingan peribadi dan politik.