Malaysia Dateline

Agong perkenan terima menghadap Jawatankuasa Tamat Darurat

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dimaklumkan telah perkenan untuk menerima majlis menghadap Jawatankuasa Merayu Penamatan Proklamasi Darurat, selepas kali kedua jawatankuasa itu menyerah surat permohonan ke Istana Negara.

Bagaimanapun, Pengerusi Jawatankuasanya, Khalid Abd Samad berkata, tarikh untuk sesi menghadap masih lagi belum diputuskan.

“Walaupun tarikh belum lagi ditentukan, kami yakin satu tarikh akan ditetapkan seberapa segera untuk membolehkan kami semua menghadap Yang di-Pertuan Agong bagi menyerahkan petisyen rayuan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, Khalid bersama Presiden AMANAH, Mohamad Sabu dan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad hadir ke Istana Negara bagi menyerahkan surat permohonan menghadap Agong agar darurat dapat ditamatkan segera.

Penyerahan surat itu merupakan kali kedua selepas permohonannya pada 26 Mac lalu tidak mendapat maklum balas pihak istana.

Semasa proses penyerahan, Khalid menegaskan bahawa pengistiharan darurat yang dinasihatkan kerajaan PN-BN semakin jelas telah membawa kesan buruk terhadap ekonomi serta kestabilan politik.

Sementara itu menerusi kenyataan terbarunya sebentar tadi, Ahli Parlimen Shah Alam itu memaklumkan bahawa warkah dari Istana Negara itu telah ditandatangani oleh Kolonel (B)  Datuk Nazim Mohd Alim, Setiausaha Sulit Kanan kepada Yang di-Pertuan Agong.