Malaysia Dateline

Agong sedih terpaksa akur hormati keputusan Mahathir letak jawatan PM

Mengimbas kembali detik perubahan kerajaan lebih dua bulan lalu, Yang di-Pertuan Agong mendedahkan pendirian Tun Dr Mahathir Mohamad yang sekali gus menyaksikan kejatuhan Pakatan Harapan (PH) di Putrajaya.

Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Almarhum Sultan Ahmad Shah Al-Musta’in Billah dalam Titah Diraja Istiadat Pembukaan Penggal Parlimen pagi tadi menyatakan rasa dukacita atas keputusan bekas perdana menteri itu.

Seri Paduka dalam Majlis Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Parlimen Ke-14 itu bertitah baginda pada mulanya cuba memujuk Mahathir agar mengubah pendirian tersebut tetapi gagal.

Titah baginda, pada 24 Februari lalu naratif landskap politik negara telah sekali lagi digegarkan menerusi peletakkan jawatan Perdana Menteri oleh Mahathir.

“Sekitar 5 petang pada hari yang sama beta telah berkenan menerima menghadap Yang Amat Berhormat (YAB) Tun Dr Mahathir.

“Dalam pertemuan tersebut beta telah meminta YAB Tun Dr Mahathir Mohamad supaya tidak meletak jawatan namun beliau tetap dengan keputusannya.

“Beta dengan hati yang sedih terpaksa akur dan menghormati keputusan beliau,” titah Seri Paduka dalam sidang Parlimen kali pertama kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang membentuk kerajaan, Mac lalu.

Sehubungan itu, Seri Paduka bertitah baginda bertanggungjawab untuk melantik seorang Perdana Menteri yang baharu seperti dikehendaki Perlembagaan Persekutuan.

“Perkara 43 yang memberi kuasa budi bicara kepada beta untuk melantik seorang ahli Dewan Rakyat yang pada hemat beta mendapat kepercayaan majoriti ahli-ahli Dewan Rakyat.

“Lantaran itu pada 25, 26 Februari beta telah mengadakan sesi pertemuan dengan ahli-ahli Dewan Rakyat untuk menilai sendiri sokongan kepercayaan mereka.

“Seterusnya, pada 29 Februari, beta telah menitahkan semua parti politik yang mempunyai wakil dalam Dewan Rakyat untuk mencalonkan nama seorang ahli Dewan Rakyat sebagai bakal Perdana Menteri,” titah Seri Paduka.

Terdahulu, Mahathir yang Ahli Parlimen Langkawi melambaikan tangannya kepada petugas media sebelum memasuki Parlimen kira-kira pukul 9.25 pagi.

Untuk rekod, Mahathir pada pukul 1 tengah hari, 24 Februari lalu telah menghantar surat peletakan jawatan sebagai Perdana Menteri Malaysia yang ketujuh kepada Yang di-Pertuan Agong.

Baginda ketika itu yang berkenan menerima peletakan jawatan tersebut bagaimanapun melantik Mahathir sebagai Perdana Menteri interim, sementara menunggu pelantikan Perdana Menteri yang baharu selaras Perkara 43 (2)(a) Perlembagaan Persekutuan.

Akibat keputusan Mahathir, PH yang sebelum ini membentuk kerajaan dengan 139 kerusi hilang majoriti untuk membentuk Kerajaan Persekutuan.

Tindakan Bersatu dan 11 Ahli Parlimen PKR keluar dari PH menyebabkan PH hanya mempunyai 102 kerusi iaitu kurang 10 kerusi di Dewan Rakyat sebagai parti memerintah untuk membentuk kerajaan.

Sidang Parlimen hari ini yang hanya mendengar Titah Diraja tanpa perbahasan menyaksikan seramai 114 ahli Parlimen duduk di blok kerajaan manakala 107 ahli Parlimen lagi termasuk Mahathir Mohamad berada di blok pembangkang.