Malaysia Dateline

Agong selamatkan negara daripada tejerumus ke arah Kovidtopolis?

Keputusan yang dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah yang bertitah, tiada keperluan untuk mengisytiharkan darurat buat masa ini telah menyelamatkan negara daripada terjerumus ke arah Kovidtopolis. Sekitar Jun lepas, saya pernah menulis artikel bertajuk ‘Tun M dan Anwar dalam Kovidtokrasi dan Kovidtopolis’ (Malaysia Dateline, 14 Jun) bahawa percaturan di sebalik Covid-19 atau yang saya konsepsikan sebagai Kovidtokrasi atau politik di sebalik pelitup akan menjurus kepada Kovidtopolis – sebuah negara yang digantung demokrasinya.

Al-Sultan Abdullah memperlihatkan kearifan yang melepaskan sempadan parti politik kerana jika diperhatikan negara kita masih aman damai, tiada parti-parti politik yang menimbulkan huru-hara dan instutisi politik mengikut lunas-lunas undang-undang dan perlembagaan negara ini dan tiada isu sensitif atau masalah pergaduhan kaum dan agama atau demontrasi besar-besaran seperti yang berlaku di Thailand dan Indonesia.Apakah keperluan yang didakwa sebagai ketidaktentuan berterusan dalam negara dan ketika Muhyiddin sedang berhadapan dengan desakan daripada luar dan dalam memerlukan darurat diisytiharkan.

Virus-virus merosak yang menular melalui lima proses PKP, PKPD, PKPB, PKPP da sekarang kembali kepada PKPB di Lembah Kelang serta Sabah berikutan sang politikus yang tidak menghormati SOP semasa PRN di Sabah telah mewabakkan virus itu ke Semenanjung. Kerisauan akan bencana politik menimpa kerajaan PN dicetuskan oleh kebimbangan tiga senario: sokongan 12o atau lebih kepada Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dan pertemuan Tengku Razaleigh Hamzah dengan YDPA dan usul tidak percaya kepada Muhyiddin di Parlimen dan ketiadaan sokongan mencukupi untuk lulus Belanjawan 2021. Inilah perkara yang mendaruratkan Perdana Menterinya.

Cadangan darurat seolah-olah akan menghumban negara ke arah Kovidtopolis.

Jika Kovitokrasi adalah wayang-wayang yang dimainkan supaya musuh-musuh politik di luar atau dalam selimut tidak dapat menghidu percaturan di celah-celah ancaman virus Covid-19. Banyak sangat tayangan wayang yang berlaku sekarang sehingga yang realitinya sudah kabur dan keliru, tidak lagi dapat dibezakan antara yang benar dan palsu. menjadi. Wayang politik sedang bergelora antara rancangan pembentukan kerajaan baharu dan pembubaran parlimen.

Kovidtopolis (negara berlatar belakangkan Covid-19) akan berlaku apabila berlakunya prorogued parliament. Ia bermaksud sidang parlimen digantung tetapi parlimen tidak dibubarkan. Maka perdana menteri tidak perlu digantikan. Penggantungan ini untuk tempoh tertentu munkin untuk tempoh enam bulan.

Melalui prorogued parliament diandaikan tiga senario yang disebutkan di atas akan dapat diatasi iaitu senario pertama cita-cita Anwar akan dimatikan, senario kedua, mengelakkan usul undi tidak percaya apabila Parlimen digantung dan senario ketiga, memastikan Belanjawan 2021 tidak ditolak melalui undian di parlimen.

Maka di sinilah Kovidtopolis memainkan peranannya. Tun Dr Mahathir Mohamad sudah membayangkan apa akan berlaku jika darurat dilaksanakan kerana ia tidak akan dapat menghentikan penularan wabak Covid-19 lebih baik daripada apa yang ada sekarang, sebaliknya hanya memberikan kuasa tambahan kepada perdana menteri.

Malah ketua pembangkang Datuk Seri Anwar pula menyifatkan keputusan kabinet untuk melaksanakan “darurat” memungkinkan negara menjadi kerajaan diktator.

Dakwa ketua pembangkang, dia bimbang dengan laporan berita yang mengandaikan kerajaan mahu menjadikan Covid-19 sebagai alasan bagi menyekat proses parlimen.

Saya sehingga membayangkan menuju ke titip ekstrim, iaitu situasi dystopia. Adakah kita akan hidup dalam kondisi dystopia? Banyak juga filem dan novel dystopia yang ditonton dan dibaca seperti novel George Orwell dan filemnya 1984, iaitu kehidupan dunia Panopticon (konsep Jeremy Bentam mengenai penjara di mana pengurusan boleh memantau dan memerhati apa yang dilakukan banduan dalam penjara kaca tetapi banduan tidak dapat melihat contohnya CCTV yang dipasang di merata-rata tempat sekarang), Margaret Atwood dengan “The Handmaids Tale atau Netflix dengan filem “Outbreak”, “12 Monkeys”, “The Giver” dan “The 100” dan “ To The Lake” mencirikan wabak atau pandemik sebagai kondisi dystopia.

Imej-imej menakut dan menggusarkan seperti taman, tempat riadah dan bandar yang kosong, binatang liar berkeliaran di jalan-jalan, beratur hendak membeli makanan seolah-olah memperlihatkan suasana dystopia. Mungkin apa yang kita tonton dan gambarkan secara konseptual atau melalui paparan filem agak keterlaluan keadaannya tentulah tidaklah menggerunkan.

Dalam hubungan ini takrif dystopia sebenarnya adalah bersifat dan bersikap politik. Ia mungkin direalitikan dalam filem dan novel dengan suasana muram, sepi, gerun dan menakutkan; dan biasanya adalah amaran atau petanda bagaimana sesebuah kerajaan mengendaikan diri dalam situasi krisis, pandemik dan PKP misalnya.

YDPA berperanan mengimbangkan pelbagai tuntutan demi menjamin berlakunya keadilan dan membatasi sebarang unsur penyalahgunaan kuasa. Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Syed Danial Syed Ahmad berkata demikian dalam kenyataannya dengan perkataan “membatasi” menjadi satu-satunya perkataan yang diwarnakan merah.

Menurutnya, pertemuan lapan Raja-Raja Melayu dengan Agong yang membincangkan permohonan kerajaan untuk mengisytiharkan darurat menekankan pentingnya menghormati mekanisme semak dan imbang untuk mengelakkan penyalahgunaan kuasa.

“Raja-raja berpendirian pentingnya dihormati mekanisme semak dan imbang antara pelbagai cabang kerajaan. Mungkin cadangannya adalah darurat kesihatan demi kesejahteraan awam tetapi siapa tahu dengan kuasa tambahan, ia boleh menuju ke arah kuasa mutlak atau secara perlahan-lahan boleh terjerumus ke arah negara polis atau Kovidtopolis.

Tiada kerajaan yang sempurna tetapi ada caranya mengukur ketidaksempuraan itu. Kerajaan dengan tadbir urus yang baik termasuklah memiliki elemen-elemen demokratik yang telus membolehkan sesebuah kerajaan itu dinilai pertanggungjawabannya.

Malaysia adalah sebuah negara yang bergerak atas lunas kedaulatan undang-undang dan keluhuran Perlembagaan. Kerajaan tidak perlu menuju kepada kaedah matlamat menghalalkan cara. Di manakah kelulusan parlimen dan apakah erti sebuah negara mengamalkan monarki berperlembagaan jika sesuatu perancangan tidak melalui proses parlimen? Syukur alhamdulillah Malaysia terselamat daripada menuju ke arah negara Kovidtopolis?

 

Kolumnis adalah pensyarah di Jabatan Komunikasi, Fakulti Komunikasi, Seni Visual dan Komputeran, Universiti Selangor (Unisel)